Khamis, 26 April 2018 | 1:55pm
EJEN bola sepak, Jorge Mendes. - Foto fail Reuters
EJEN bola sepak, Jorge Mendes. - Foto fail Reuters

Wolves, Mendes tak langgar peraturan: FA

LONDON: Hubungan antara ejen bola sepak, Jorge Mendes dan juara Liga Kejuaraan, Wolverhampton Wanderers tidak melanggar peraturan Liga Bolasepak Inggeris (EFL).

Justeru, ejen dari Portugal itu dan Wolves tidak perlu menghantar 'ujian pemilik dan pengarah' yang termaktub dalam peraturan EFL bagi mengelak sebarang salah laku, kata badan pengelola itu, semalam.

Wolves sah kembali ke Liga Perdana Inggeris pada 14 April lalu tetapi kejayaan mereka dibayangi oleh beberapa persoalan mengenai Mendes, yang turut mewakili ketua jurulatih, Nuno Espirito Santo dan beberapa pemain tonggak kelab itu.

Mendes juga mempunyai hubungan baik dengan pemilik Wolves, Fosun International iaitu syarikat konglomerat dari China dan menasihati Fosun untuk membeli kelab itu.

Peraturan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris mengenai hubungan antara kelab dan ejen melarang pemilik kelab daripada memegang saham lebih daripada lima peratus dalam agensi, manakala ejen, atau 'pengantara', tidak boleh menggunakan 'pengaruh material' ke atas kelab.

Selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan Wolves, EFL menyatakan pihaknya berpuas hati apabila Mendes tidak memainkan sebarang peranan dalam kelab itu dan tidak boleh dikategorikan sebagai "orang yang berkaitan" sebagaimana ditakrifkan oleh peraturan liga.

Di bawah peraturan liga, 'orang yang berkaitan' ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai kuasa setara dengan pengarah syarikat, termasuk semua individu yang mempunyai kawalan ke atas urusan kelab.

"Susulan pemerhatian komprehensif mengenai perincian yang disediakan oleh (Wolves), sudah ditentukan bahawa Mendes tidak memainkan peranan di kelab dan kerana itu tidak boleh dikategorikan sebagai 'orang yang berkaitan' seperti yang didefinisikan oleh peraturan liga," kata EFL dalam satu kenyataan.

Antara pemain dan pengurus yang menggunakan khidmat Mendes adalah pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo, penyerang Bayern Munich, James Rodriguez, Diego Costa, Ederson, Angel Di Maria dan pengurus Manchester United, Jose Mourinho. - Reuters

Berita Harian X