Rabu, 18 April 2018 | 2:43pm
PENJAGA gol Leicester City, Kasper Schmeichel cedera ketika menentang Burnley, hujung minggu lalu. - Foto REUTERS
PENJAGA gol Leicester City, Kasper Schmeichel cedera ketika menentang Burnley, hujung minggu lalu. - Foto REUTERS

Schmeichel, Okazaki disisihkan temu Southampton

LONDON: Penjaga gol Leicester City, Kasper Schmeichel dan penyerang, Shinji Okazaki bakal disisihkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Southampton, Jumaat ini selepas kedua-duanya dilanda kecederaan ketika bertemu Burnley, hujung minggu lalu.

Pengendali Leicester, Claude Puel berkata, pemain antarabangsa Jepun, Okazaki dikeluarkan pada aksi berkenaan selepas mengalami masalah buku lali pada babak pertama, yang berkesudahan dengan keputusan mereka tewas 1-2 di Turf Moor.

Schmeichel pula digantikan pada minit terakhir selepas bertembung dengan penyerang Burnley, Ashley Barnes.

"Dia terjatuh dan dihempap (Schmeichel)," kata Puel. "Masalahnya ialah buku lali, dan kami akan menilai perkembangan semasa, sama ada dia boleh beraksi untuk perlawanan ini.

"Okazaki juga sama, kami akan memantau keadaannya sama ada dia sudah pulih daripada rasa sakit di pergelangan kaki.

"Ketika ini, (Schmeichel) tidak boleh menjalani latihan bersama pasukan. Kami perlu menerima hakikat ini, sudah tentu kami perlu berdepan isu seperti ini,"

Puel mengesahkan pemain tengah, Daniel Amartey yang dibelenggu kecederaan hamstring kini sudah kembali menjalani latihan tetapi pemain antarabangsa Ghana itu belum bersedia sepenuhnya untuk berdepan Southampton.

Khidmat kedua-dua tonggak itu cukup ditagih ketika Leicester, yang berada di tangga kelapan liga dengan 43 mata selepas 33 perlawanan setakat ini masih mencuba nasib untuk berada di kelompok enam terbaik liga.

Ketika saingan berbaki lima perlawanan pada musim ini, mereka hanya dibezakan dengan 11 mata di belakang pasukan keenam, Arsenal (54 mata) dan masih berpeluang mengejar slot ke saingan Liga Europa. - AFP

Berita Harian X