Khamis, 12 April 2018 | 5:27pm
NIDZAM Adzha hanya menanti surat rasmi untuk sah kembali sebagai ketua jurulatih Kedah. -Foto fail
NIDZAM Adzha hanya menanti surat rasmi untuk sah kembali sebagai ketua jurulatih Kedah. -Foto fail

Nidzam Adzha kembali kendali Kedah

JITRA: Pemangku ketua jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff akan dilantik ketua jurulatih baharu bagi membimbing Helang Merah mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat rasmi pelantikan beliau dalam masa terdekat.

Katanya, pengurusan KFA sudah membuat keputusan itu selepas Ramon Marcote direhatkan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih Kedah.

"Surat itu akan dikeluarkan sehari dua lagi, kita yakin dengan pegalaman yang ada beliau akan dapat melakukan sesuatu untuk pasukan melakar kemenangan. Dalam masa yang sama, beliau juga sudah serasi dengan pemain dan saya yakin pemain tiada masalah untuk menerima arahan dan tunjuk ajar beliau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Chit Chat Ekspresi Ilmu di Dewan Jitra, di sini, hari ini.

Dengan pelantikan itu, Aminuddin turut berharap akan dapat mengembalikan kepercayaan penyokong Kedah terhadap pengurusan KFA serta pasukan bola sepak negeri itu. Mengenai kedudukan Marcote, Aminudin berkata, beliau akan diberi peranan baharu sebagai Ketua Jurulatih Pembangunan Bola Sepak KFA.

"Marcote masih berbincang dengan pengurusan KFA mengenai kedudukannya dan tawaran diberikan, ada beberapa perkara lagi yang beliau akan teliti sebelum ke peringkat seterusnya," katanya.

Pada 28 Mac lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Yusdi Madeinus Mohamad Yunus dalam satu kenyataan berkata, Nidzam dilantik memangku jawatan ketua jurulatih pasukan itu yang disandang Ramon Marcote sebelum ini.

Berita Harian X