X
Khamis, 12 April 2018 | 4:30pm
BUFFON (tengah) dilayangkan kad merah selepas mempertikaikan keputusan pengadil. FOTO/AFP
BUFFON (tengah) dilayangkan kad merah selepas mempertikaikan keputusan pengadil. FOTO/AFP

Pengadil 'beg sampah', tiada perasaan: Buffon

MADRID: Gianluigi Buffon melabel pengadil England, Michael Oliver 'tidak mempunyai perasaan' dan sepatutnya menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara membabitkan Juventus dan Real Madrid, awal pagi tadi di kerusi penonton.

Penjaga gol veteran Itali itu turut menambah Oliver perlu menyaksikan perlawanan itu bersama isterinya dan (minuman) Sprite. 

Oliver menganugerahkan Real penalti pada minit ke-93 permainan di Santiago Bernabeu selepas pertahanan Juventus, Mehdi Benatia menjatuhkan Lucas Vazquez dengan terjahan tidak sepatutnya daripada belakang. 

Buffon kemudian diarahkan keluar padang kerana memprotes keputusan berkenaan sebelum penyerang bintang Real, Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti dan membawa gergasi Sepanyol itu ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 4-3.

"Pengadil tidak mempunyai hati, dia mempunyai beg sampah dan bukannya hati," kata Buffon kepada rancangan televisyen Itali, Mediaset Premium selepas perlawanan kedua suku akhir yang menyaksikan Juve menang 3-1. 

"Jika kamu tidak mempunyai personaliti dan keberanian, kamu sepatutnya berada di kerusi penonton untuk menyaksikan perlawanan dengan isteri dan juga Sprite." 

Real tampak berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir susulan kemenangan besar 3-0 yang diraih pada aksi pertama di Turin, minggu lalu.

Begitupun, Juve menampilkan kebangkitan dengan dua jaringan Mario Mandzukic menerusi tandukan pada babak pertama sebelum Blaise Matuidi menyamakan agregat berpunca kesilapan penjaga gol, Keylor Navas. 

Kad merah Buffon menamatkan kempen penjaga gol berusia 40 tahun itu di pentas Liga Juara-Juara dengan dia dijangka akan bersara pada musim panas ini.

"Pengadil meniup wisel atas kesilapan yang hanya dia saksikan," kata Buffon kepada beIN Sports.

"Tetapi lebih daripada itu, untuk perlawanan hebat di pentas Eropah, kita memerlukan pemain hebat, jurulatih, penyokong dan juga pengadil.

"Perlu ada sensitiviti dan jika kamu tidak mempunyai sensitiviti untuk apa yang berlaku ketika permainan, kamu tidak layak untuk berada di atas padang.

"Dalam kes ini, dia sepatutnya berada di kerusi penonton bersama keluarganya, dengan rakan-rakan dengan kentang goreng dan coca-cola dan menyaksikan permainan. Kamu tidak boleh melakukan perkara seperti itu." - AFP

 

 

Berita Harian X