Ahad, 8 April 2018 | 9:51am
REAKSI Guardiola yang kecewa selepas skuad bimbingannya gagal memanfaatkan peluang terbuka ketika bertemu United, awal pagi tadi. - Foto Reuters
REAKSI Guardiola yang kecewa selepas skuad bimbingannya gagal memanfaatkan peluang terbuka ketika bertemu United, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Kami tak boleh takut - Guardiola

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City mesti melupakan segera kekecewaan untuk menjulang trofi Liga Perdana lebih awal, walaupun memiliki dua gol awal sebelum tumbang kepada Manchester United, awal pagi tadi.

Mereka perlu bangkit dengan segera untuk meneruskan misi menyelamat yang sukar berdepan Liverpool dalam saingan suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Selasa ini selepas tewas 0-3 dalam pusingan pertama.

Kemenangan ke atas United pagi tadi sepatutnya sudah melayakkan City menjulang piala buat kali kelima dan mereka berada di landasan tepat apabila kapten, Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan meledak dua gol di babak pertama.

Bagaimanapun, impian itu dipadamkan di babak kedua apabila mereka bolos tiga kali dalam tempoh 19 minit, - sekali lagi kecewa selepas tumbang di Anfield, minggu lalu.

Dan, mereka kelihatan agak kaku ketika United bangkit memadam kelebihan dua gol, - hasil dua jaringan Paul Pogba dan gol kemenangan oleh Chris Smalling.

"Tahniah kepada United. Selepas ini, kami akan terus mencuba, jika kami cukup berani untuk bangkit melawan dan kekal fokus pada aksi Selasa ini," kata pengurus City, Pep Guardiola.

City masih mendahului dengan 13 mata untuk kekal di puncak Liga Perdana dan walaupun tewas buat pertama kali di laman sendiri musim ini, Guardiola jelas menunjukkan beliau lebih mengutamakan saingan Liga Juara-Juara.

Kevin De Bruyne, yang dicalonkan sebagai pemain terbaik tahunan diletakkan di bangku simpanan bersama penyerang, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero.

"Hari ini, United langsung tidak melakukan percubaan di babak pertama. Di babak kedua, mereka mencuba dua kali dan meledak dua gol.

"Kadang kala, secara mental, ia memang sukar. Kami pasukan muda dan mereka ada mencipta peluang, bukannya terlalu bertahan.

Sepanjang hampir dua tahun mengemudi City, Guardiola kadang kala kecewa kerana skuad bimbingannya gagal memanfaatkan peluang terbuka dan Raheem Sterling sendiri terlepas dua peluang keemasan untuk menjarakkan kedudukan selepas mendahului 2-0. - AFP

Berita Harian X