Sabtu, 7 April 2018 | 12:59pm
CONTE perlu pastikan anak buahnya menang menentang Hammers. FOTO/AFP
CONTE perlu pastikan anak buahnya menang menentang Hammers. FOTO/AFP

Conte tak layan khabar angin

LONDON: Ketika status Chelsea selaku juara Liga Perdana sudah berakhir, ia tepat menerangkan apa yang diramalkan Antonio Conte, ketika beliau memulakan usaha mempertahankan gelaran mereka.

Bos Blues itu menjadi individu yang kecewa sejak beliau memberi amaran mereka akan menempuh musim yang sukar ketika jelajah pra musim Chelsea yang lalu.

Berang dengan kegagalan pengurusan tertinggi Chelsea mendapatkan sasaran utama serta perbalahan secara umum dengan Diego Costa - penyerang yang dibuangnya sebelum dijual ke Atletico Madrid, Conte sudah menyatakan dengan jelas mereka akan dilanda masalah.

Ramalan bekas jurulatih Juventus itu terbukti benar ketika Chelsea melalui musim sukar dengan mereka akan ke saingan tetangga London berdepan West Ham, esok dengan risiko terkeluar daripada kedudukan empat terbaik.

Kekalahan hujung minggu lalu kepada pasukan tangga keempat Tottenham menyebabkan Chelsea kini ketinggalan lapan mata daripada kedudukan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Berbaki tujuh perlawanan, tempoh dua tahun Conte di Stamford Bridge tampak akan tamat dengan beliau akan meninggalkan kelab pada penamat musim.

Ketika ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan pemilik Chelsea, Roman Abramovich sedang memikirkan mahu mendapatkan bekas bos Barcelona, Luis Enrique dan jurulatih Juventus, Max Allegri.

Gianluca Vialli, bekas pengurus Chelsea dan rakan sepasukan Conte di Juventus, mendakwa rakan lamanya itu tidak sabar meninggalkan kelab barat London itu selepas penat kerana kurang pengaruh dalam pembinaan skuad.

Namun Conte berkali-kali enggan dikaitkan dengan masalah masa depannya dan ketika ditanya mengenai komen Vialli, dia berkata: "Ia tidak benar. Gianluca ialah kawan saya tetapi saya tidak bercakap dengannya mungkin selama setahun.

"Ia sangat sukar buat saya, tetapi sejak musim ini, saya mendengar banyak spekulasi mengenai masa depan saya, tetapi sebenarnya saya komited kepada kelab ini." - AFP

Berita Harian X