Jumaat, 6 April 2018 | 3:30pm
KEON hanya memberi pandangan masing-masing mengenai apa yang sedang dilalui Kedah.
KEON hanya memberi pandangan masing-masing mengenai apa yang sedang dilalui Kedah.

Keon nafi dalang penyingkiran Marcote

KUALA LUMPUR: Ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari menafikan wujud komplot di kalangan pemain senior sehingga membawa kepada penyingkiran Ramon Marcote sebagai jurulatih.

Khairul Helmi atau mesra dengan panggilan Keon berkata dakwaan yang dicetuskan penyokong melalui media sosial itu tidak benar dan boleh menjejaskan reputasinya serta rakan sepasukan.

"Saya tidak pasti siapa mula memainkan isu ini namun ia menjadi viral di kalangan penyokong sehingga ada yang mempercayainya. 

Malah, kami menjadi mangsa kecaman penyokong yang tidak bersetuju Marcote diketepikan.

"Walaupun nama pemain tidak disebut namun saya yakin ia ditujukan kepada saya kerana saya adalah pemain paling senior dalam pasukan Kedah selain Bad (Baddrol Bakhtiar), Syazwan (Zainon) dan Hadi (Abdul Hamid).

"Apatah lagi saya adalah ketua pasukan. Sudah tentu mereka berfikir saya mampu untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.

"Tuduhan itu bukan sahaja tidak benar malah keterlaluan kerana ia  boleh merosakkan keharmonian antara pemain dengan penyokong terutama dalam situasi sekarang," kata Keon.

Keon mengakui pihak pengurusan turut meminta pandangan pemain mengenai prestasi tidak menentu Sang Helang Merah musim ini namun menafikan mereka mendesak agar Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyingkirkan jurulatih dari Sepanyol itu.

"Kami hanya memberi pandangan masing-masing mengenai apa yang sedang dilalui oleh pasukan Kedah. Tidak timbul langsung kami meminta KFA merehatkan atau menyingkirkan Marcote. 

"Tindakan KFA menamatkan khidmat Marcote sebagai jurulatih dan digantikan dengan Nidzam (Adzha Yusoff) adalah keputusan mereka sendiri tanpa dipengaruhi oleh pemain.

"Sebagai pemain, kami akur dan akan memberi kerjasama kepada siapa sahaja jurulatih yang dipilih. Apa yang penting sekarang adalah meningkatkan prestasi Kedah supaya tidak terlepas baki piala yang ada.

"Marcote sendiri memahami situasi itu serta menerima keputusan KFA tanpa menyalahkan mana-mana pihak termasuk pemain. Malah, hubungan kami tetap baik dan beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan," kata Keon.

Berita Harian X