Rabu, 28 March 2018 | 10:06pm
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote dilihat beredar dari pusat latihan sebelum latihan berakhir hari ini sesudah bertemu beberapa pegawai KFA yang turut hadir. - Foto Hairul Anuar Rahim
KETUA jurulatih Kedah, Ramon Marcote dilihat beredar dari pusat latihan sebelum latihan berakhir hari ini sesudah bertemu beberapa pegawai KFA yang turut hadir. - Foto Hairul Anuar Rahim

Marcote 'direhatkan' Helang Merah?

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Ramon Marcote mungkin direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) selepas beliau dilihat meninggalkan kem latihan Helang Merah di Stadium Sultan Abdul Halim, petang tadi.

Jurulatih dari Sepanyol itu dilihat beredar dari pusat latihan sebelum latihan berakhir hari ini sesudah bertemu beberapa pegawai KFA yang turut hadir.

Ia menguatkan lagi persoalan mengenai status ketua jurulatih itu selepas KFA mengadakan mesyuarat khas pengurusan tertinggi di Alor Setar, baru-baru ini.

Penolong jurulatih Nidzam Adzha Yusoff dilihat mengendalikan latihan selepas Marcote beredar pada sesi latihan pertama sejak pemain bercuti 18 Mac lalu.

Bagaimanapun pegawai KFA yang ditemui enggan memberi sebarang komen dan meminta supaya menunggu pengumuman rasmi pengurusan tertinggi dalam tempoh terdekat.

Di bawah kendalian Marcote, prestasi Kedah terumbang-ambing sejak awal musim ini dan mereka terlepas dua trofi iaitu Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala FA.

Berita Harian X