Selasa, 27 March 2018 | 9:43pm
AUSTRALIA ancam boikot Piala Dunia 2018 di Russia. FOTO/AFP
AUSTRALIA ancam boikot Piala Dunia 2018 di Russia. FOTO/AFP

Australia ancam boikot Piala Dunia

SYDNEY: Australia berkata negara itu akan mengusir dua diplomat Russia selain memberi amaran untuk memboikot Piala Dunia 2018 sebagai tindak balas terhadap serangan agen saraf yang dilakukan terhadap bekas perisik Russia di Britain.

Amerika Syarikat berkata, mereka akan mengusir 60 diplomat Russia, disertai beberapa negara di Eropah untuk menghukum Kremlin. 

Secara keseluruhan, 100 diplomat Russia sudah diusir sekali gus ia jumlah terbesar diplomat Russia dihalau keluar sejak Perang Dingin.

"Bersama-sama dengan United Kingdom dan juga negara sekutu yang lain, Australia akan mengambil tindakan berhubung serangan agen saraf di Salisbury, UK," kata Perdana Menteri, Malcolm Turnbull dalam satu kenyataan.

"Dua diplomat Russia yang dikenal pasti sebagai pegawai perisik yang tidak diisytiharkan akan diusir keluar sebagai tindakan kerajaan Australia ke atas tindakan yang tidak konsisten terhadap status mereka, menurut apa yang termaktub dalam Konvensyen Vienna."

Menteri Luar Australia, Julie Bishop tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan lain seperti memboikot Piala Dunia 2018 di Russia.

"Masih ada banyak lagi pilihan lain untuk tindakan yang boleh diambil. Memboikot Piala Dunia salah satu tindakan yang boleh diambil berhubung isu ini," kata Bishop. 

Badan induk bola sepak Australia berkata, setakat ini Piala Dunia akan berlangsung seperti yang dirancang.

"Setahu kami, semua pasukan yang layak termasuklah pasukan England akan mengambil bahagian dalam acara FIFA ini," kata Persekutuan Bola Sepak Australia dalam satu kenyataan. - REUTERS

Berita Harian X