Selasa, 20 March 2018 | 6:42pm
NATXO Insa pertama kali wakili Malaysia. - FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
NATXO Insa pertama kali wakili Malaysia. - FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Fokus diri sendiri, bukan Mongolia - Natxo

PETALING JAYA: Sukar untuk menduga keupayaan Mongolia yang bakal menjadi ujian pertama skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.   

Melihat kepada rekod, pasukan yang kini menduduki ranking ke-189 dunia itu hanya mengharungi satu perlawanan tahun lalu dan tewas 2-4 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan.   

Namun, difahamkan pasukan Mongolia bakal tampil dengan ramai pemain muda yang beraksi bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) ketika aksi kelayakan Kejohanan AFC di Bangkok, tahun lalu.   

Meskipun tewas 0-2 kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee, namun lawan itu memberi tentangan hebat dengan corak permainan pantas.   

Bagi pemain tengah yang dipanggil buat kali pertama menyertai Harimau Malaya, Natxo Insa, dia percaya mereka perlu fokus dalam mempersiapkan diri sendiri tanpa terlalu memikirkan kekuatan pasukan lawan.   

"Saya fikir kami perlu lebih fokus kepada diri kami sendiri, ini pasukan baharu. Saya percaya Mongolia pasukan yang baik, ini peluang untuk kami menguji kemampuan sendiri.   

"Kita tak ada banyak masa, ramai pemain yang beraksi dalam saingan liga minggu lalu dan hanya sempat menjalani pemulihan kecergasan semalam. Kami perlu memahami taktik dengan baik dan cuba untuk menang," kata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu ketika ditemui pada sesi latihan, hari ini.   

Natxo, pemain kacukan kelahiran Sepanyol antara 15 pemain baharu selain seorang lagi pemain JDT yang berasal dari England, La'Vere Corbin-Ong yang dipanggil oleh Cheng Hoe bagi memperkuatkan pasukan kali ini.   

Perlawanan menentang Mongolia dianggap penting bukan saja sebagai pemanas badan sebelum aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 dengan Lubnan pada 27 Mac, malah untuk menamatkan kemarau kemenangan lebih setahun skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.   

Natxo, 32, mengakui tidak sabar untuk tampil buat kali pertama bersama skuad kebangsaan meskipun adiknya, Kiko Insa terpaksa diketepikan pada saat akhir kerana mengalami jangkitan pada mata.   

"Ini kali pertama kami bersama dalam skuad kebangsaan, ia satu sejarah. Saya gembira berada di sini, kita ada pemain muda dan pengalaman, saya fikir kami boleh lakukan dengan baik," kata bekas pemain kelab Sepanyol, Levante itu.

Berita Harian X