Isnin, 5 March 2018 | 12:09am
PENYOKONG Arsenal berang dengan kekalahan kepada Brighton.
PENYOKONG Arsenal berang dengan kekalahan kepada Brighton.

Brighton tambah derita Arsenal

LONDON: Arsenal melengkapkan minggu penuh derita selepas mengharungi kekalahan keempat berturut-turut apabila tewas 2-1 kepada Brighton & Hove Albion dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sebentar tadi.

Selepas dua kekalahan kepada Manchester City dalam kempen Piala Liga dan EPL, pertengahan minggu lalu selain tewas kepada kelab Sweden Ostersunds FK dalam saingan Liga Europa, kemenangan ke atas Brighton dilihat penting bagi meredakan tekanan buat pengendali, Arsene Wenger.

Begitupun, sebaliknya berlaku dengan kedukaan kelab yang diberi jolokan Gunners itu terus bertambah sekali pun tiba di laman Brighton, Stadium AMEX dengan menyenaraikan barisan terkuat.

PEMAIN Arsenal Sead Kolasinac (kanan) mengasak pemainBrighton. FOTO/AFP
PEMAIN Arsenal Sead Kolasinac (kanan) mengasak pemainBrighton. FOTO/AFP

Dengan Henrikh Mkhitaryan, Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang disenarai dalam kesebelasan utama, Arsenal menguasai sebahagian besar permainan tetapi tampak tumpul untuk mencipta jaringan.

Selepas dikejutkan dengan gol seawal minit ke-7 daripada Lewis Dunk berpunca hantaran Shane Duffy, tuan rumah terus menghukum benteng pertahanan Arsenal apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-26 menerusi tandukan Glenn Murray.

Selepas ketinggalan 2-0, deretan serangan dilancarkan dan ia berhasil apabila Aubameyang merapatkan kedudukan pada minit ke-43.

Berpunca daripada cubaan Granit Xhaka di luar kotak penalti, Aubameyang yang berada di depan pintu gol enggan memanfaatkan peluang untuk mudah menguis masuk jaringan.

Arsenal berpeluang menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Laurent Koscielny tetapi tandukannya sekadar mengegar palang. 

Pada babak kedua, peminat mula tampak hilang sabar apabila laungan 'kami mahu Wenger keluar' kerap kedengaran ketika cubaan daripada Ozil selepas sejam perlawanan berlangsung berjaya dihalang penjaga gol Brighton, Maty Ryan.

Kekalahan menyaksikan Arsenal kekal di tangga keenam liga dan semakin jauh daripada kedudukan tangga empat teratas liga yang menjadi tiket ke Liga Juara-Juara.

Bagi Brighton, ia adalah kemenangan pertama mereka ke atas Arsenal dalam kancah liga sejak 1982 untuk kekal di tangga ke-10 selepas mengharungi 28 perlawanan.

- AFP

 

 

Berita Harian X