Sabtu, 3 Februari 2018 | 11:33am
JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mahu anak buah guna sebaik mungkin beraksi di laman sendiri. - Foto Farizul Hafiz Awang
JURULATIH Pahang, Dollah Salleh mahu anak buah guna sebaik mungkin beraksi di laman sendiri. - Foto Farizul Hafiz Awang

Tok Gajah idam tiga mata 

KUANTAN: Skuad Pahang yang menampilkan barisan pemain baharu, termasuk import mengidam tiga mata apabila melayan kunjungan Perak di Stadium Darul Makmur dalam aksi sulung Liga Super, malam esok.

Biarpun bakal diberi tentangan sengit The Bos Gaurus, skuad Tok Gajah sedia untuk mengecewakan lawannya itu bersandarkan komitmen tinggi pemain.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, kelebihan beraksi di halaman sendiri dalam perlawanan pertama skuad itu musim ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Katanya, kemenangan adalah matlamat utama skuad kendaliannya selain sebagai motivasi untuk mengharungi cabaran besar dalam saingan liga elit itu musim ini.

"Sudah pasti kami mahukan tiga mata dan pemain yang diberi tanggungjawab diharap dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya," katanya.

Pahang dijangka akan menyenaraikan kelima-lima pemain importnya, termasuk empat yang baharu menyertai skuad itu musim ini berdepan Perak.

Mereka adalah Alex Moraes, Sergio Unrein, Chan Vathanaka, Mohamadou Sumareh dan pemain dari Singapura, Safuwan Baharudin.

Pada masa sama, pengalaman selaku penyerang terbaik tempatan bakal menyaksikan kelibat Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo bergandingan dengan Unrein di bahagian serangan.

Sementara itu, pemain tengah, Nor Azam Azih tidak mahu Pahang mempersia-siakan kelebihan beraksi di halaman sendiri.

Justeru, dia bersama rakan sepasukan sudah bersedia untuk merobek kubu The Bos Gaurus untuk memastikan kemenangan menjadi milik skuad Tok Gajah.

"Keutamaan kami adalah kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan kerana pertemuan dengan Perak menjadi sumber inspirasi bagi mengharungi saingan liga musim ini," kata Nor Azam.

Berita Harian X