Khamis, 1 Februari 2018 | 11:23pm
PEMAIN baharu Chelsea, Olivier Giroud (tengah, atas) menyaksikan aksi pasukannya menentang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Stamford Bridge, semalam. - Foto AFP
PEMAIN baharu Chelsea, Olivier Giroud (tengah, atas) menyaksikan aksi pasukannya menentang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Stamford Bridge, semalam. - Foto AFP

Giroud mahu kecapi aksi Liga Juara-Juara

LONDON: Olivier Giroud menegaskan kepulangan ke saingan bola sepak Liga Juara-Juara menjadi faktor penting dia membuat keputusan menyertai Chelsea dari Arsenal pada hari terakhir perpindahan Januari.

Giroud menjadi penonton ketika Chelsea tewas 3-0 di tangan Bournemouth semalam dan menjejaskan peluang kelab itu untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun mereka masih kekal lapan mata mengatasi Arsenal dalam pertarungan merebut empat tempat teratas dan akan menanti kehadiran Barcelona pada pusingan pertama kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pada 20 Februari.

"Liga Juara-Juara ialah bola sepak yang besar buat pemain. Tiada yang lebih besar daripadanya apabila anda bermain buat sesebuah kelab," kata pemain antarabangsa Perancis itu yang beraksi enam daripada 10 perlawanan Arsenal musim ini dalam Liga Europa.

"Akan ada dua perlawanan yang menarik menentang Barcelona. Kami tahu kualiti dimiliki mereka dan saya rasa setiap orang perlu melakukan 100 peratus untuk layak."

Kehadiran Pierre-Emerick Aubameyang di Arsenal memberi laluan buat Giroud meninggalkan kelab itu selepas lima setengah tahun di Emirates ketika dia cuba beraksi lebih kerap di atas padang untuk diserapkan ke dalam skuad Piala Dunia Perancis.

Kehadirannya amat diperlukan pengurus Chelsea, Antonio Conte selepas Januari yang penuh kecewa buat pengendali dari Itali itu dengan penyerang pilihan utama, Alvaro Morata diketepikan kerana kecederaan belakang.

"Perkara paling penting ialah bercakap dengan jurulatih. Saya rasa dia memang mahukan saya dan mahu bekerjasama dengan saya," kata Giroud. - AFP

Berita Harian X