Selasa, 30 Januari 2018 | 11:14pm
MENTERI Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama pemain pemain Negeri Sembilan pada perasmian jersi baharu di D'Tempat, Sendayan. - Foto Hazreen Mohamad
MENTERI Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama pemain pemain Negeri Sembilan pada perasmian jersi baharu di D'Tempat, Sendayan. - Foto Hazreen Mohamad

1,000 hadir meriahkan pelancaran skuad NS

SEREMBAN: Kira-kira 1,000 penyokong Negeri Sembilan hadir memeriahkan pelancaran jersi baharu pasukan itu yang diadakan di D' Tempat Country Club Bandar Sri Sendayan, di sini, malam ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan melancarkan jersi yang akan dipakai oleh skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

MOHAMAD (dua dari kanan) menerima jersi baharu pasukan Negeri Sembilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla sebagai simbolik perasmian jersi baru pasukan Liga Super Negeri Sembilan di D'Tempat, Sendayan. - Foto Hazreen Mohamad
MOHAMAD (dua dari kanan) menerima jersi baharu pasukan Negeri Sembilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan, Vach Pillutla sebagai simbolik perasmian jersi baru pasukan Liga Super Negeri Sembilan di D'Tempat, Sendayan. - Foto Hazreen Mohamad

Negeri Sembilan akan memakai jersi kuning untuk aksi di gelanggang sendiri, manakala merah untuk aksi tempat lawan dan jersi putih sebagai alternatif.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada syarikat Al-Ikhsan Sport Sdn Bhd (aL-ikhsaN) kerana sudi menaja pasukan Negeri Sembilan musim ini.

"Saya yakin penajaan ini akan dapat menyuntik semangat pemain untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang perlawanan musim ini dan seterusnya menjulang kejuaraan disasarkan," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran itu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Presiden PBNS, Datuk Seri Mat Ali Hassan, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Abd Ghani Hasan.

Hadir sama Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif dan Pengurus Liga Super, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin serta Ketua Eksekutif aL-ikhsaN, Vach Pillutla dan Timbalan Pengurus Besar aL-ikhsaN, Norita Mohd Noor.

Sementara itu, Norita berkata pihaknya berbesar hati menaja pasukan yang memiliki falsafah bola sepak jelas dan semangat yang tinggi dalam memacu kejayaan pasukan itu yang kembali beraksi di Liga Super musim ini.

"Kami gembira kerana dapat menjadi rakan kongsi kepada PBNS yang memiliki keazaman tinggi untuk meraih pencapaian cemerlang dalam saingan Liga Malaysia," katanya.

Jersi baharu yang dilancarkan itu turut dijual di seluruh daerah dengan harga RM129 sehelai.

Skuad kendalian Jorg Peter Steainnebrunner akan menggunakan jersi baharu itu pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super menentang PKNP FC di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang, Sabtu ini.

Berita Harian X