Jumaat, 26 Januari 2018 | 2:37pm
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (depan, tengah)) pada sidang media memperkenalkan barisan pemain skuad Perak. - BERNAMA
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan (depan, tengah)) pada sidang media memperkenalkan barisan pemain skuad Perak. - BERNAMA

Skuad Perak diperkenal esok

IPOH: Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) akan mengadakan majlis pelancaran skuad The Bos Gaurus di Bulatan Amanjaya, Meru Raya, malam esok. "Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir," kata Presiden PAFA Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Majlis itu akan turut memperkenalkan barisan kejurulatihan dan pemain yang menjadi nadi pasukan Liga Super, Piala Presiden, Belia dan Futsal dalam membawa cabaran Perak dalam kempen Liga M, musim ini.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, jersi baru Perak turut diperkenalkan malam esok.

Bagi menghadapi musim ini Perak diperkuatkan lima import iaitu tiga pemain kelahiran Brazil iaitu Wander Luiz Bitencourt Junior, Leandro Dos Santos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva Filho. Manakala bagi kuota ASEAN dan Asia, TBG mengambil khidmat ketua pasukan Filipina, Misagh Medina Bahadoran (Filipina) dan Robert Cornhwaite (Australia).

Bekas pemain Kelantan dan T-Team, Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan adalah dua pemain import tempatan menyarung jersi Perak. Musim lalu, Perak menduduki tangga kelima saingan Liga Super, terkandas di pusingan ketiga Piala FA dan tumpas di separuh akhir saingan Piala Malaysia.

Musim ini pula, PAFA menyasarkan satu piala serta kedudukan empat terbaik dalam Liga Super.

Berita Harian X