Isnin, 22 Januari 2018 | 6:45pm
KETUA Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim resah beberapa pemain masih dibelenggu kecederaan tatkala tinggal kira-kira dua minggu lagi sepak mula Liga Malaysia bermula. - Foto Abdullah Yusof
KETUA Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim resah beberapa pemain masih dibelenggu kecederaan tatkala tinggal kira-kira dua minggu lagi sepak mula Liga Malaysia bermula. - Foto Abdullah Yusof

PKNP FC resah pemain utama belum sembuh

IPOH: Jurulatih Perbadanan Kemajuan Negeri (PKNP) FC, Abu Bakar Fadzim terasa bahang apabila berdepan krisis kecederaan pemain utama dengan menjelang tirai Liga Super 2018 bulan depan.

Ketika pasukan lain sudah dikatakan serba lengkap, Bakar menghadapi masalah kecederaan pemain termasuk import baharu, Keo Sok Pheng dan Yeon Gi Sung serta kapten, Muhammad Shahrel Fikri.

"Hanya tinggal kira-kira dua minggu sebelum sepak mula saya hadapi masalah kecederaan yang serius," katanya.

Bakar juga mengakui Shahrel mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan pertama nanti.

Mneurutnya, pemergian Shukri Hamid, Syazwan Zaipol Bahari, Gilberto Valdenesio dan Kim Hweon-woo menjejaskan persembahan pasukan.

"Saya perlu bentuk pasukan baharu dari mula kerana ramai tonggak sudah tiada.

"Hanya tinggal Ritus (Kraujklis), Hafiz (Ramdan), Raffi Nagorgani, penjaga gol, Ahmad Asyraf Omar, S Devan Raj, Mohd Irwan Syazmin dan Vickneswaran yang punyai pengalaman.

"Pemain lain adalah pemain muda dari skuad Piala Presiden kami... maka banyak kerja yang perlu dilakukan.

"Saya pun masih mencari pertahanan import untuk melengkapkan pasukan," katanya.

Sebagai persiapan, PKNP FC mengadakan beberapa perlawanan ujian termasuk berdepan PKNS FC Kelantan dan Kedah.

"Perlawanan persahabatan yang diadakan baru-baru ini banyak membantu saya mengenal pasti kelemahan dan kekurangan. Saya lihat kini pemain lebih yakin," katanya.

Mengenai Stadium Batu Kawan Pulau Pinang menjadi gelanggang tuan rumah PKNP, Bakar yakin ia bukan masalah besar walaupun tidak sama seperti jika bermain di Ipoh.

"Tidak dinafikan ada kekurangan dari segi kehadiran jumlah penyokong tetapi jika PKNP menunjukkan prestasi cemerlang sudah pasti mereka akan berubah dan datang memberi sokongan," katanya.

Berita Harian X