Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:37pm
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri sedia gempur benteng Muangthong United FC. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri sedia gempur benteng Muangthong United FC. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Hazwan sedia layan Muangthong United

JOHOR BAHRU: Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri sedia menggempur benteng Muangthong United FC pada pertembungan pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, Thailand, Selasa ini.

Malah, dia yang ditemui ketika sesi latihan di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam mengaku betapa latihan pramusim di Thailand meningkatkan lagi kualiti permainan dalam usaha membentuk persefahaman dalam skuad Harimau Selatan.

Apapun, Hazwan Bakri yang sinomin dengan panggilan Jack dikalangan rakan sepasukan menyerahkan perancangan taktikal kepada ketua jurulatih, Ulisses Morais sama ada diturunkan atau tidak pada perlawanan yang dianggap hidup mati dalam usaha memburu slot ke pusingan ketiga.

"Ini adalah kali kedua kita berdepan kelab dari Thailand dan musim lalu kita menang 1-0 ke atas Bangkok Glass FC untuk mara ke pusingan ketiga dan pertembungan menentang Muangthong United FC ini dijangka sengit memandangkan JDT dan pasukan lawan memiliki reputasi tersendiri.

"Apapun, persiapan rapi sudah dilakukan sepanjang pramusim di Bangkok, Thailand dan banyak yang kami belajar terutama perubahan formasi dan juga cara mengawal perasaan ketika beraksi di padang supaya tidak terlalu gopoh dan sentiasa tenang.

"Malah saya juga berpeluang bergandingan bersama Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz ketika aksi persahabatan pramusim di Thailand dan ternyata kedua-dua pemain itu cukup profesional malah saya tidak janggal jika digandingkan lagi," katanya.

Skuad Harimau Selatan akan berlepas ke Thailand, esok tanpa kelibat pemain kacukan Malaysia-Barbados, La'Vere Corbin Ong yang tidak sempat didaftarkan untuk beraksi dalam saingan kelayakan ACL sambil Haziq Nazdli masih bersama skuad Bawah 23 tahun (B-23) di China.

Mengulas pertembungan menentang Muangthong United, Ahmad Hazwan optimis semua rakan sepasukannya sudah bersedia memberi persembahan terbaik dan mereka akan cuba sedaya upaya menewaskan skuad kendalian Totchtawan Sripan itu.

Berita Harian X