Khamis, 18 Januari 2018 | 9:25pm
BEKAS pemain Pahang, Kiko (kanan) mengemukakan tuntutan terhadap PBNP berhubung pertikaian kontrak dan tunggakan gaji. - Foto fail
BEKAS pemain Pahang, Kiko (kanan) mengemukakan tuntutan terhadap PBNP berhubung pertikaian kontrak dan tunggakan gaji. - Foto fail

Pahang kena bayar RM118,674 kepada Kiko Insa

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dikehendaki membayar tunggakan gaji Francisco Insa Bohigues atau Kiko Insa berjumlah AS$30,000 (RM118,674) dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2017-2021 yang dipengerusikan Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Ayub, hari ini.

Mohd Joehari berkata, keputusan itu dibuat selepas Kiko mengemukakan tuntutan terhadap PBNP berhubung pertikaian kontrak dan tunggakan gaji pemain terbabit.

"Tuntutan pemain sudah diterima sebahagiannya. Kontrak pemain bersama PBNP sudah ditamatkan secara sah oleh pemain (Kiko).

"Jika PBNP gagal membayar jumlah yang dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi. Keputusan ini boleh dirayu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Kelab Sukan DBKL yang beraksi dalam Liga FAM diminta membayar tunggakan gaji kepada 13 pemainnya berjumlah RM184,000.

Mohd Joehari berkata, tuntutan 13 pemain itu sudah diterima sepenuhnya dan Kelab Sukan DBKL dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah berkenaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan itu.

Katanya, kes berkenaan juga akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi jika Kelab Sukan DBKL gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Bagaimanapun, tuntutan dikemuka dua lagi pengadu iaitu (pemain DBKL) Mohamad Nashriq Yahya dan Amin Asraf Yaakob ditolak. Keputusan ini boleh dirayu," katanya.

Berita Harian X