Khamis, 18 Januari 2018 | 12:51am
PRESIDEN PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan belum fikir naikkan kadar tiket bagi perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, musim ini. - Foto Hazreen Mohamad
PRESIDEN PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan belum fikir naikkan kadar tiket bagi perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, musim ini. - Foto Hazreen Mohamad

PBNS belum fikir naikkan kadar tiket

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) belum bercadang untuk menaikkan kadar tiket bagi perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, musim ini.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kadar sedia ada iaitu RM10 bagi tempat duduk terbuka dan RM20 bagi tempat duduk berbumbung dilihat sudah memadai.

Malah katanya, setakat ini tiada cadangan daripada mana-mana ahli EXCO persatuan itu mengenai usaha menaikkan kadar tiket.

"Saya melihat belum masanya bagi PBNS menaikkan kadar tiket bagi perlawanan bola sepak kerana Stadium Paroi tiada menyediakan kemudahan tempat duduk khas di kawasan terbuka, sebaliknya penonton hanya duduk di atas simen.

"Adalah tidak sesuai untuk menaikkan kadar tiket itu walaupun pasukan Negeri Sembilan akan beraksi dalam Liga Super," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO, di Wisma Negeri, hari ini.

Mengulas mengenai kadar pencahayaan lampu limpah di Stadium Paroi yang dikatakan tidak menepati syarat ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Mohamad berkata, terdapat hanya satu daripada 15 titik yang diperiksa menunjukkan kadar pencahayaan yang tidak mencapai tahap minimum 1200 lux.

Beliau berkata, satu daripada lampu terbabit yang diperiksa FMLLP mencatatkan 1199 kadar pencahayaan dan pihaknya akan menaik taraf lampu berkenaan seberapa segera sebelum tirai saingan Liga Super bermula awal bulan depan.

"Kita (PBNS) akur dengan peraturan FMLLP dan akan memastikan kadar pencahayaan semua lampu di stadium berkenaan mencapai tahap minimum 1200 lux, untuk membolehkan perlawanan di tempat sendiri dilangsungkan pada waktu malam," katanya.

Mohamad juga turut mengesahkan Al-Ikhsan sebagai penaja rasmi jersi pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Negeri Sembilan musim ini.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada Al-Ikhsan kerana sudi menaja jersi kepada ketiga-tiga pasukan Negeri Sembilan tahun ini," katanya.

Berita Harian X