Selasa, 2 Januari 2018 | 1:18am
PEMAIN Leicester City, Riyad Mahrez (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol pertama pasukan ketika menentang Huddersfield di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto AFP
PEMAIN Leicester City, Riyad Mahrez (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas meledak gol pertama pasukan ketika menentang Huddersfield di Stadium King Power, sebentar tadi. - Foto AFP

Mahrez bantu Leicester benam Huddersfield

LEICESTER: Riyad Mahrez menjaringkan satu gol dan membantu untuk satu lagi ketika Leicester City mencipta kemenangan 3-0 mengatasi Huddersfield Town dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Pada babak pertama, Wilfred Ndidi hampir menjaringkan gol tetapi dia melencongkan bola keluar daripada posisi baik selepas Islam Slimani menimbulkan banyak masalah buat lawan dalam penampilan semulanya.

Selepas rehat, permainan kembali rancak ketika Mahrez meledak voli cantik pada minit ke-53 sebelum Slimani menambah gol kedua tujuh minit kemudian untuk jaringan pertamanya dalam liga musim ini.

Huddersfield hanya sekali menemui sasaran sepanjang perlawanan ketika mereka bergelut manakala Leicester memberikan penampilan pertama kepada pemain baharu, Adrien Silva selepas dia dibenarkan bermain.

Marc Albrighton menjaringkan gol ketiga pada lewat permainan seterusnya mengesahkan kemenangan yang menyaksikan Leicester kekal di tangga kelapan manakala Huddersfield kekal di tangga ke-11 walaupun tewas kali pertama dalam lima perlawanan. - REUTERS

Berita Harian X