Rabu, 20 Disember 2017 | 6:18pm
PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud mengalami kecederaan ketika menentang West Ham pada saingan Piala Liga, malam tadi. - Foto Reuters
PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud mengalami kecederaan ketika menentang West Ham pada saingan Piala Liga, malam tadi. - Foto Reuters

Giroud terlepas aksi berdepan Liverpool

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menjangkakan penyerangnya Olivier Giroud bakal diketepikan daripada aksi Liga Perdana Inggeris berdepan Liverpool, Sabtu ini selepas pemain itu mengalami kecederaan hamstring.

Giroud, yang sudah meledak tujuh gol musim ini, diganti pada babak kedua ketika Arsenal meraih kemenangan 1-0 ke atas West Ham United pada suku akhir Piala Liga, awal pagi tadi dan akan menjalani proses imbasan esok untuk menilai tahap kecederaan itu.

"Ia tidak kelihatan berapa baik untuk dia," kata Wenger kepada pemberita selepas perlawanan. "Saya fikir dia akan terlepas perlawanan Sabtu nanti.

"Kita perlu tunggu. Sekarang dia akan melakukan imbasan 48 jam selepas kecederaan. Ini akan dilakukan pada Khamis, selepas itu kami akan dapat mengetahui tahap kecederaan hamstringnya.

"Apabila anda mendengar (jeritannya), kesakitannya mungkin agak teruk, tetapi tahap kecederaan tidak selalu dikaitkan dengan kesakitan."

Pemain tengah Francis Coquelin juga digantikan di saat akhir kerana kecederaan, tetapi Wenger menjangkakan pemain berusia 26 tahun itu boleh diturunkan untuk berdepan pasukan kelompok teratas itu.

Arsenal berada di kedudukan kelima dalam carta liga, satu mata di belakang Liverpool yang menghuni tangga keempat dan akan melayan kunjungan kelab Merseyside itu di Emirates. - REUTERS

Berita Harian X