Isnin, 6 November 2017 | 9:53am
REAKSI pengendali Manchester City dari Sepanyol, Pep Guardiola (kanan) ketika menentang Arsenal pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto AFP
REAKSI pengendali Manchester City dari Sepanyol, Pep Guardiola (kanan) ketika menentang Arsenal pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto AFP

Kami memang layak menang: Guardiola

LONDON: Manchester City semakin selesa mendahului lapan mata di depan pesaing utama Liga Perdana Inggeris (EPL), selepas pasukan tangga kedua, Manchester United tumbang 0-1 kepada juara bertahan, Chelsea, awal pagi tadi.

Pendahulu liga itu meraih tiga mata penting apabila merakam kemenangan 3-1 ke atas Arsenal, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal sebelum pertembungan Chelsea-United.

PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (dua dari kanan) meraikan gol ledakannya bersama pemain tengah Leroy Sane (kanan) pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, malam tadi. - Foto AFP
PENYERANG Manchester City, Sergio Aguero (dua dari kanan) meraikan gol ledakannya bersama pemain tengah Leroy Sane (kanan) pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, malam tadi. - Foto AFP

Pengurus United, Jose Mourinho, yang pernah memenangi gelaran bersama Chelsea menyaksikan kunjungan ke Stamford Bridge terus ditimpa malang apabila tandukan Alvaro Morata pada minit ke-55 memberikan kemenangan mutlak kepada tuan rumah.

Gol pemain Sepanyol itu berjaya menamatkan kemarau jaringannya selepas gagal meledak dalam enam aksi terakhir bersama Chelsea.

Dalam aksi awal, City terus cemerlang menumbangkan The Gunners - apabila Kevin De Bruyne meledak gol awal untuk membolehkan skuad Pep Guardiola mendahului saingan di Etihad.

Sergio Aguero menjarakkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua City menerusi sepakan penalti di awal babak kedua.

PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez diasak oleh pemain pertahanan Man City, John Stones pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, malam tadi. - Foto AFP
PENYERANG Arsenal, Alexis Sanchez diasak oleh pemain pertahanan Man City, John Stones pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, malam tadi. - Foto AFP

Alexandre Lacazette kembali merapatkan jurang tetapi Gabriel Jesus terus membunuh semangat pemain Arsenal menerusi jaringan ketiga City pada minit ke-74, walaupun dikatakan berada di kedudukan ofsaid.

"Tahap fizikal sangat bagus, tetapi bukan keputusannya," kata pengurus veteran Arsenal, Arsene Wenger kepada Sky Sports.

"Gol ketiga...ketika kedudukan 2-1, kami masih bertarung dan dia (pengadil - Michael Oliver) memberikan gol yang jelas ofsaid. Sudah tentu, ia membunuh semangat kami.

"Mereka adalah pasukan teratas dan perkara itu (keputusan tidak tepat) akan membuatkan kami lebih sukar.

Bagaimanapun, rakan sejawatannya, Guardiola menafikan mengulas dakwaan pasukannya menang secara tidak adil.

"Kami menang dengan cara yang terbaik dan layak untuk meraih kejayaan," kata Guardiola dengan menegaskan pemain City kepenatan selepas merakam kemenangan ke atas Napoli dalam saingan Liga Juara-Juara, pada pertengahan minggu.

"Kami bertarung dalam keadaan yang tidak begitu baik, pemain keletihan tetapi mental mereka masih stabil. Saya gembira dengan prestasi mereka. Gol ketiga itu membantu kami untuk menang. - AFP

Berita Harian X