Ahad, 5 November 2017 | 10:45am
AKSI penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim (kanan) berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi pada final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Aziah Azmee
AKSI penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim (kanan) berjaya menyelamatkan gawang daripada dibolosi pada final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Aziah Azmee

Maafkan kami: Ifwat

SHAH ALAM: "Maafkan kami,". Itu reaksi penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim selepas Kedah tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final Piala Malaysia, malam tadi.

Akur dengan keputusan, penjaga gawang skuad Helang Merah ini langsung tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak apabila mereka gagal mempertahankan Piala Malaysia dalam pertembungan di Stadium Shah Alam.

Ketika seluruh pasukan diselubungi kekecewaan, Mohd Ifwat mengakui penyokong setia Helang Merah juga turut berkongsi rasa yang sama.

PENYERANG Kedah, Mohd Farhan Roslan (kanan) ditenangkan rakan sepasukan Muhammad Syazwan Tajuddin selepas tamat aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA
PENYERANG Kedah, Mohd Farhan Roslan (kanan) ditenangkan rakan sepasukan Muhammad Syazwan Tajuddin selepas tamat aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA

"Buat penyokong, kami minta maaf sebab kecewakan anda semua, apatah lagi ada yang datang dari jauh," katanya.

Mengulas mengenai kekalahan itu, Ifwat turut mengakui berlaku sedikit kelekaan di kalangan pemain, namun dia tidak mahu menyalahkan benteng pertahanan, kerana menyifatkan hanya nasib yang memisahkan kedua-dua pasukan.

Untuk itu, pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu berkata, adalah lebih baik seluruh pasukan mengambil tanggungjawab kekalahan ini secara berpasukan.

"Kami juga ada melakukan serangan, namun tidak ada rezeki apabila ada percubaan terkena tiang. Kali ini, bukan malam kami.

"Memang gol pertama merencatkan pasukan, kerana kalau kami berjaya mengekang lawan, permainan juga akan berbeza. Di babak pertama, saya nampak moral pemain terjejas.

"Apa pun, kami bermain secara satu pasukan, kami juga menerima keputusan secara bersama," katanya.

Berita Harian X