Sabtu, 4 November 2017 | 11:53pm
PENYERANG Stoke City, Peter Crouch (tengah) meraikan gol jaringan penyamaan ketika aksi menentang Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Bet365, sebentar tadi. - Foto AFP
PENYERANG Stoke City, Peter Crouch (tengah) meraikan gol jaringan penyamaan ketika aksi menentang Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Bet365, sebentar tadi. - Foto AFP

Crouch bantu Stoke ikat Foxes

STOKE-ON-TRENT, England: Bekas penyerang England, Peter Crouch tampil dari bangku simpanan untuk menyelamatkan satu mata buat Stoke City ketika seri 2-2 sebentar tadi, menafikan pengurus baru Leicester, Claude Puel kemenangan kedua berturut-turut.

Juara Liga Perdana Inggeris 2015-16 itu berpisah dengan Craig Shakespeare bulan lalu selepas merudum ke zon penyingkiran namun bangkit di bawah kendalian bos sementara Michael Appleton dan bekas bos Southampton, Puel.

Menentang Stoke, mereka kelihatan berbahaya dan pantas menerusi serangan balas dengan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez menjadi ancaman utama manakala pemain sayap Demarai Gray meraih satu lagi penampilan dalam kesebelasan utama hanya beberapa hari selepas mengikat kontrak baharu di kelab itu.

PETER Crouch (kiri) menanduk bola di udara untuk menjaringankan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Stadium Bet365, sebentar tadi. - Foto AFP
PETER Crouch (kiri) menanduk bola di udara untuk menjaringankan gol penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Stadium Bet365, sebentar tadi. - Foto AFP

Anak buah Puel mendahului pada minit ke-33 apabila Vicente Iborra meledak gol separa voli selepas bola singgah di kakinya susulan sepakan sudut dan berpeluang untuk terus mengukuhkan kedudukan.

Pertamanya, Jack Butland menyelamatkan rembatan kencang Shinji Okazaki manakala Iborra menanduk melepasi palang selepas satu lagi sepakan sudut.

Namun Leicester dihukum kerana kelalaian mereka selepas gol pembukaan itu apabila Eric Maxim Choupo-Moting merebut bola dan kemudian mengumpan kepada Xherdan Shaqiri, yang merembat dengan kaki kiri dari penjuru kanan kotak penalti lawan pada minit ke-39.

Mahrez membantu Leicester kembali di depan setengah jam sebelum tamat selepas Kasper Schmeichel melakukan tindakan penyelamat menakjubkan daripada percubaan Ryan Shawcross.

Bagaimanapun Leicester terjerat sekali lagi apabila Crouch, yang masuk tidak lama sebelum itu, menanduk masuk sepakan sudut Shaqiri pada minit ke-73. - AFP

Berita Harian X