Khamis, 2 November 2017 | 8:31pm

Kedah, JDT sama gagah

KUALA LUMPUR: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini pasti menjanjikan aksi menarik dipamerkan dua pasukan yang kini dilabel selaku kelab terbaik ketika ini.

Malah ramai jurulatih tempatan juga nyata sukar untuk membuat ramalan pasukan mana yang lebih berhak untuk menjulang trofi tertua di benua Asia itu kerana sedar kualiti dimiliki Harimau Selatan dan Helang Merah.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan dua import Kedah, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva menjadi watak penting buat skuad dari utara Semenanjung itu.

"Anda tahu memang sukar untuk kami memilih pasukan mana yang lebih hebat kerana kedua-duanya kini dua pasukan terbaik di negara ini. Apa-apa pun boleh berlaku namun tunggu dan lihat saja pasukan mana yang bijak mengambil peluang.

"Liridon dan Sandro akan jadi pemain penting buat Kedah. Tapi segalanya perlu dilakukan dalam tempoh 70 minit kerana anda dapat lihat sebelum ini, sejurus aksi melepasi tempoh itu, kedua-dua pemain itu sudah mula perlahan," katanya.

Bagaimanapun, di atas kertas, tekanan pasti lebih menjurus kepada Kedah kerana tampil selaku juara bertahan dan berdepan barisan Ulisses Morais yang dilabel sebagai pemain tempatan dan import terbaik ketika ini.

Faktor itu juga mendorong ketua jurulatih FELDA United, B Sathianathan memilih Harimau Selatan sebagai pilihan untuk menjulang Piala Malaysia namun JDT perlu memperkukuhkan benteng pertahanan mereka.

"Berdasarkan pemain yang dimiliki, saya lebih ke arah JDT kerana kebanyakan mereka sudah biasa beraksi di final. Serangan mereka cukup baik tapi perlu waspada dengan serangan balas kerana tanpa Marcos Antonio, posisi itu seakan kurang baik seperti sebelumnya."

Berita Harian X