Khamis, 26 Oktober 2017 | 5:56pm
PENYERANG Kedah, Syafiq Ahmad bersedia menggalas tugas pada perlawanan 'prafinal' menentang JDT bagi aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. - Foto Osman Adnan
PENYERANG Kedah, Syafiq Ahmad bersedia menggalas tugas pada perlawanan 'prafinal' menentang JDT bagi aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini. - Foto Osman Adnan

Syafiq sahut cabaran prafinal

ALOR SETAR: Penyerang muda Kedah, Syafiq Ahmad sudah bersedia menggalas tugas pada perlawanan 'prafinal' skuad kedua Kedah apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Syafiq berkata, penyokong dan pemain sudah berada dalam 'mood final' dan penuh bersemangat serta pastinya mengharapkan Kedah memberi saingan hebat kepada JDT di halaman sendiri walau tampil tanpa pemain senior yang direhatkan.

Perlawanan terakhir Liga Super menentang JDT juga medan terbaik buat pemain muda Kedah mempamerkan bakat dan meningkatkan keyakinan sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia pada 4 November depan.

"Saya anggap ini peluang untuk pemain skuad kedua Kedah membuktikan kemampuan mereka tambahan pula beraksi menentang JDT yang diketahui kelab terbaik di Liga Super dan mempunyai ramai pemain berbakat.

"Jika saya diturunkan dalam perlawanan ini, saya tetap bersedia untuk menjadi watak pemusnah dan tidak mahu mengecewakan penyokong Kedah yang mengharapkan kami mengutip tiga mata di Darul Aman."

Ditanya mengenai harapan untuk Kedah apabila beraksi pada final Piala Malaysia nanti, dia menyatakan kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan hanya pasukan terbaik akan membawa pulang piala berprestij itu.

PEMAIN Kedah giat menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim sebagai persediaan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT pada 4 November di Stadium Shah Alam. - Foto Sharul Hafiz Zam
PEMAIN Kedah giat menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim sebagai persediaan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia menentang JDT pada 4 November di Stadium Shah Alam. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Kedah dan JDT masing-masing berpeluang...bola itu bulat namun Kedah mempunyai kelebihan berdasarkan rekod beraksi di final Piala Malaysia sejak dua tahun lalu dan kami akan turun dengan semangat lebih tinggi kali ini.

"Impian saya memang mahu meraikan kejayaan menjulang piala ketiga bersama Kedah musim ini... selepas berjaya membawa pulang Piala Sumbangsih di awal musim dan Piala FA pada Mei lalu.

"Saya yakin pengalaman tiga kali beraksi di final Piala Malaysia sejak 2015 selain pengalaman pemain muda beraksi mewakili negara di peringkat antarabangsa mampu dijadikan modal bagi merealisasikan impian Kedah bergelar juara sekali lagi musim ini."

Berita Harian X