Selasa, 26 September 2017 | 6:08pm
KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Safirul Azli Abu Bakar memandang serius cadangan Bakri Ibni dalam merangka persediaan lebih efektif buat skuad Bawah 16 Tahun negara (B-16). - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Safirul Azli Abu Bakar memandang serius cadangan Bakri Ibni dalam merangka persediaan lebih efektif buat skuad Bawah 16 Tahun negara (B-16). - Foto Owee Ah Chun

B-16: NFDP ambil serius teguran Bakri

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar memandang serius cadangan bekas pemain kebangsaan Bakri Ibni apabila mengakui bersedia merangka persediaan lebih efektif buat skuad Bawah 16 Tahun negara (B-16).

Ia sebagai persediaan menghadapi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di halaman sendiri yang dijadualkan berlangsung pada September tahun depan.

Jelasnya, dengan slot ke Piala Dunia Remaja B-17 pada 2019 menjadi sasaran, skuad muda negara kendalian Lim Teong Kim itu harus mara hingga ke separuh akhir pada pusingan akhir Kejohanan AFC itu.

"Sememangnya pandangan Bakri cukup baik yang mahu melihat pasukan Malaysia melangkah ke Piala Dunia pada 2019 itu nanti.

"Cadangan untuk mendedahkan skuad B-16 dengan perlawanan menentang pasukan kebangsaan negara luar memang ada dan sudah diatur.

"Berdasarkan jadual dan persediaan, pasukan kita akan beraksi di kejohanan jemputan di Jepun pada Mac tahun depan, yang menghimpunkan banyak pasukan terkuat Asia dan Eropah.

"Malah, pada April tahun ini juga anak buah Teong Kim sudah beraksi di Itali dalam Torneo Delle Nazioni yang turut menampilkan beberapa pasukan handalan dunia," katanya.

Skuad B-16 yang dibentuk menerusi program NFDP tiga tahun lalu, menetapkan sasaran beraksi dalam Piala Dunia Remaja 2019 sebagai misi utama mereka.

Walaupun meraih keputusan cemerlang dalam beberapa kejohanan bertaraf kelab sebelum ini, rentak itu bagaimanapun gagal diteruskan ketika berdepan Jepun apabila tewas 0-4 dalam aksi Kumpulan J Kelayakan AFC di Bekasi, Indonesia, Ahad lalu.

Kekalahan itu nyata menimbulkan keraguan terhadap kemampuan anak buah Teong Kim di pusingan akhir tahun depan.

"Kalau ikutkan pada keputusan itu (tewas kepada Jepun) bukan saja jurulatih dan saya kurang berpuas hati, malah YB KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan) juga tak senang duduk.

"Jadi, kita akan tunggu laporan penuh daripada barisan kejurulatihan dan sebarang penambahbaikan akan dilakukan berdasarkan laporan itu.

"Saya percaya dalam tempoh setahun sebelum bermulanya Kejohanan AFC tahun depan, segala kelemahan akan dapat diatasi dan berharap sasaran layak ke Piala Dunia menjadi kenyataan," katanya.

Berita Harian X