Khamis, 21 September 2017 | 3:48pm
PEMILIK pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan trofi Liga Super yang yang dimenangi sambil diperhatikan jurulatih JDT, Ulisses Morais (kiri) pada majlis penyampaian trofi Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
PEMILIK pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menunjukkan trofi Liga Super yang yang dimenangi sambil diperhatikan jurulatih JDT, Ulisses Morais (kiri) pada majlis penyampaian trofi Liga Super di Stadium Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kejuaraan liga amat bermakna: Morais

JOHOR BAHRU: Tiada apa yang mampu diungkap pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Ulisses Morais selain berterima kasih kepada setiap pemain yang komited sepanjang saingan liga untuk memastikan kejuaraan Liga Super empat musim berturut-turut menjadi milik skuad Harimau Selatan.

Malah Morais berkata, aksi terakhir JDT di laman sendiri ketika menewaskan Kelantan 3-0 dalam saingan liga, malam tadi jelas menyerlahkan lagi kesungguhan setiap pemain yang mahukan kemenangan sebelum menjulang trofi baharu liga.

Beliau juga menyifatkan kejuaraan yang diraih amat bermakna selepas hanya tiga bulan membimbing JDT menggantikan Benjamin Mora, untuk sekali gus merealisasikan misi pemilik pasukan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Sudah tentu saya gembira kerana melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dan kerjasama pemain memainkan peranan bagi mengecapi kejayaan cukup bermakna untuk kelab ini.

"Hari ini (semalam) genap tiga bulan saya membimbing JDT dan ia tiga bulan yang cukup beri kesan mendalam buat saya kerana berjaya membentuk skuad mantap. Tidak dilupakan barisan kejurulatihan yang turut memberi komitmen dalam skuad JDT.

"Ketika saya memulakan tugasan pertama bersama JDT, saya sudah mengesan beberapa kelemahan yang harus diperbaiki dan dalam tempoh tiga bulan selain hasil kerja keras setiap pemain ternyata ia mampu diatasi," katanya.

Mengulas mengenai kemenangan 3-0 ke atas skuad The Red Warriors (TRW), Morais menyifatkan keazaman pemain JDT yang begitu menebal untuk meraih kemenangan dan mengikut arahan taktikal nyata membuahkan hasil.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan betapa sentuhan penyudah barisan serangan perlu diperkemaskan lagi selepas beberapa percubaan yang mampu menjelmakan jaringan sering tersasar.

Malah katanya, ada pemain yang tampak sedikit gementar apabila beraksi di depan penyokong sendiri kerana ia perlawanan terakhir di laman sendiri dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

"Ada ketika pemain beraksi dengan baik dan kadang-kadang hilang fokus tetapi mereka tahu misi utama adalah mencari kemenangan dan apa jua kesilapan yang dilakukan pemain ternyata pantas diperbaiki.

"Untuk persiapan seterusnya, kita akan berdepan Melaka United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini di Larkin dan saya sedang memikirkan sama ada akan membuat penggiliran pemain atau sebaliknya," kata Morais.

Berita Harian X