Jumaat, 1 September 2017 | 7:02pm
PEMAIN Malaysia, S Kumaahran (dua dari kiri) diasak pemain Indonesia, Hanif Abdurauf pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Malaysia, S Kumaahran (dua dari kiri) diasak pemain Indonesia, Hanif Abdurauf pada perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam. - Foto Osman Adnan

Kumaahran tak kecewa tersisih, anggap pengorbanan

KUALA LUMPUR: "Saya tidak kecewa. Pada saya kecederaan yang saya alami ini adalah pengorbanan saya kepada negara," kata penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) S Kumaahran yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kanan.

Dia mengalami kecederaan itu ketika beraksi menentang Indonesia pada separuh akhir temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan terpaksa diketepikan oleh jurulatih Datuk Ong Kim Swee pada final yang menyaksikan Malaysia tewas kepada Thailand 0-1.

Menurut Kumaahran, dia menerima insiden buruk itu dengan hati yang terbuka meskipun bukan saja terlepas baki saingan Liga Malaysia bersama Pulau Pinang musim ini, malah bakal digugurkan daripada skuad B-22 ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, tahun depan.

"Memang sedih juga selepas ujian imbasan MRI, doktor mengesahkan saya cedera ACL. Ini kali pertama saya mengalami kecederaan teruk seperti ini.

"Kalau mengikut tempoh rawatan, saya hanya akan pulih sepenuhnya hujung Februari tahun depan. Jadi memang saya tak akan dapat menghabiskan perlawanan dengan Pulau Pinang musim ini dan tak sempat untuk ke kejohanan AFC.

"Tapi saya terima takdir ini, kerana ini lumrah dalam bola sepak dan saya tetap gembira kerana dapat menyumbang kepada skuad negara di Sukan SEA," katanya kepada BH Online.

S KUMAAHRAN terpaksa berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kanan. - Foto Osman Adnan
S KUMAAHRAN terpaksa berehat panjang akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kanan. - Foto Osman Adnan

Kumaahran, 21, yang berasal dari Butterworth berkata, dia dijangka menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan lutut itu di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur minggu depan.

Meskipun bakal tamat kontrak bersama Pulau Pinang hujung tahun ini, dia berharap dapat ditawarkan kontrak baru selepas ini.

"Susah juga sebab saya cedera sekarang, tapi saya percaya dan berharap ada pasukan yang terima saya nanti," kata Kumaahran.

Berita Harian X