Ahad, 20 Ogos 2017 | 11:56am
PENYERANG Juventus dari Argentina, Paulo Dybala (tengah) diasak pemain pertahanan Cagliari, Marco Capuano (kanan) pada saingan Serie A di Turin. - Foto AFP/Marco Bertorello
PENYERANG Juventus dari Argentina, Paulo Dybala (tengah) diasak pemain pertahanan Cagliari, Marco Capuano (kanan) pada saingan Serie A di Turin. - Foto AFP/Marco Bertorello

Juventus cemerlang, Buffon selamatkan penalti VAR

MILAN: Jaringan Mario Mandzukic, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain menghadiahkan Juventus kemenangan 3-0 ke atas Cagliari ketika juara Itali itu menyelamatkan penalti yang diperoleh menerusi video bantuan pengadil (VAR) untuk membuka kempen Serie A dengan bergaya.

Juventus yang menjuarai gelaran Serie A keenam berturut-turut musim lalu, namun tewas di final Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, tampak tidak bermasalah untuk kembali menghuni tangga teratas.

REAKSI penyerang Juventus dari Argentina, Paulo Dybala selepas ledak gol. - Foto REUTERS
REAKSI penyerang Juventus dari Argentina, Paulo Dybala selepas ledak gol. - Foto REUTERS

Seteru, Napoli turut menikmati permulaan positif hasil kemenangan 3-1 ke atas kelab baru dinaikkan, Verona dengan pemain bintang, Arkadiusz Milik turut meledak gol.

Pengadil, Fabio Maresca mencipta sejarah Serie A di gelanggang baharu Juventus, Stadium Allianz dengan menganugerahkan penalti kepada Cagliari, namun gagal dimanfaatkan selepas penjaga gol legenda Itali, Gianluigi Buffon menyelamatkan sepakan berkenaan.

Jurulatih Juve, Massimiliano Allegri yang memilih menyenaraikan Dybala bergandingan dengan Higuain di bahagian depan dengan Mandzukic beroperasi lebih belakang menghambur pujian khas kepada Buffon, 39, yang dipercayai beraksi pada musim terakhirnya.

"Saya menjangkakan yang pengadil akan memberikan penalti, dan kami bertuah kerana memperoleh Buffon, nombor satu di gawang gol. Dia mengeluarkan kami daripada situasi yang sukar," kata Allegri kepada Premium Sport.

Seminggu selepas kekalahan 3-2 di final Piala Super kepada Lazio yang menyaksikan Dybala menyumbat dua gol, pengendali dari Itali itu tampak cukup berpuas hati.

"Pemain-pemain menafsirkan perlawanan dengan begitu baik jadi saya amat gembira," kata Allegri yang turut memuji pemain yang cukup bekerja keras, Mandzukic.

"Kehadirannya cukup besar bagi kami. Apabila kami berada dalam tempoh yang sukar, kami bergantung harap kepadanya. Dia tidak boleh melakukannya berseorangan, namun dia memberikan bantuan amat besar." - AFP

Berita Harian X