Sabtu, 5 Ogos 2017 | 12:24am
AKSI Shahrel Fikri (kanan) ketika menentang Terengganu pada saingan Liga Perdana. - Foto Ghazali Kori
AKSI Shahrel Fikri (kanan) ketika menentang Terengganu pada saingan Liga Perdana. - Foto Ghazali Kori

Pengorbanan 3 tahun Shahrel berbaloi

KUALA LUMPUR: Tiga tahun lalu, Shahrel Fikri sudah menggantung but kerana disahkan mengalami masalah jantung, namun dia bangkit selepas itu.

Dan ternyata pengorbanannya berbaloi apabila berjaya dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya buat kali pertama.

Peningkatan prestasi yang ditunjukkan Shahrel, 23, bersama PKNP FC amat ketara musim ini kerana bukan saja mengetuai kelab Liga Perdana itu bersaing merebut slot ke Liga Super tahun depan, malah turut mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Malah dengan rekod jaringan 10 gol dalam saingan liga, tiga gol Piala Malaysia dan tiga gol Piala FA sudah cukup meyakinkan jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada menyenaraikan penyerang muda itu dalam skuad 27 pemain bagi kem latihan pusat bermula 14 Ogos ini.

''Untuk sampai ke tahap ini, diberi peluang mewakili negara memang saya tidak terfikir sebelum ini. Dulu saya pernah digugurkan daripada skuad Harimau Muda B di bawah jurulatih Razip Ismail kerana saya gagal ujian kesihatan.

''Saya tidak pernah ada masalah kesihatan, dari kecil tidak pernah ada masalah sesak nafas. Tapi selepas pemeriksaan itu, saya disahkan mengalami masalah injap jantung bocor. Jadi saya terpaksa disingkirkan dan tidak bermain bola selama lebih empat bulan.

''Tapi selepas itu saya dipanggil untuk menyertai skuad Piala Presiden Perak dan daripada situ karier saya bermula semula. Memang pada mulanya risau juga untuk bermain, tapi saya serahkan segala ketentuan kepada Allah. Saya berterima kasih kepada jurulatih Abu Bakar Fadzim yang banyak membantu saya selama ini,'' katanya.

Menurut Shahrel, dia sentiasa mengikuti nasihat doktor dalam menjaga kesihatannya dan setakat ini tidak pernah mengalami masalah ketika beraksi.

''Alhamdulilah setakat ini saya tidak ada rasa sakit atau sesak nafas. Insya Allah saya akan cuba berikan yang terbaik kerana saya perlu ambil peluang ini, bukan mudah untuk dapat beraksi dengan pemain lebih berpengalaman dalam skuad kebangsaan,'' katanya yang berasal dari Sitiawan.

Selain Shahrel, Vingada yang melakukan rombakan besar-besaran dengan menggugurkan 11 pemain turut membawa masuk muka baru iaitu pemain kacukan kelahiran Sepanyol, Kiko Insa (Pahang) dan Farhan Abu Bakar (Kedah) bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan persahabatan menentang Syria (22 Ogos), Macau (25 Ogos) dan Myanmar (29 Ogos) sebelum berdepan Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Melaka pada 5 September.

Berita Harian X