Rabu, 26 Julai 2017 | 11:28pm

JDT bangkit tundukkan Perak

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah sebelah tangan memegang trofi Liga Super selepas bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan penting menewaskan Perak 2-1 pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Ulisses Morais hanya perlu menewaskan Selangor, 5 Ogos ini untuk dinobatkan selaku juara sekali gus mencipta sejarah menjadi pasukan pertama yang menjulang kejuaraan liga elit domestik itu empat musim berturut-turut.

Pemain JDT, Afiq Fazail (dua dari kiri) diasak pemain Perak, Thiago Junio De Aquino dan Mohd Hafiz Kamal ketika perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pemain JDT, Afiq Fazail (dua dari kiri) diasak pemain Perak, Thiago Junio De Aquino dan Mohd Hafiz Kamal ketika perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Dalam aksi sebentar tadi, tuan rumah lebih mengancam sebaik sepak mula dengan percubaan Naxco Insa dari luar kotak penalti sekadar melewati palang gol pada minit kesembilan dan selang seminit giliran Gabriel Guerra merembat bola leret namun belum mampu merobek gawang The Bos Gaurus.

Kapten Safiq Rahim terlepas peluang terbaik membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas bola rembatannya hasil hantaran S Kunanlan tepat ke dakapan penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Walaupun menguasai perlawanan dan sering mengancam kubu pelawat, tuan rumah tersentak apabila gawang mereka bolos pada hujung babak pertama menerusi sepakan percuma Hafiz Kamal yang tepat ke penjuru kiri gawang sekali gus menewaskan Izham Tarmzi Roslan.

Bersambung babak kedua, Morais membuat perubahan taktikal apabila memasukkan Ahmad Hazwan Bakri dan mengeluarkan Afiq Fazail bagi mengukuhkan jentera serangan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila gol penyamaan tuan rumah menjelma pada minit ke-47 selepas bola sepakan sudut Safiq gagal diselamatkan Muhammad Hafizul dan kesempatan itu diambil Mohd Fadhli Shas untuk menolak bola ketika gawang ternganga.

Gol itu jelas menyuntik semangat Harimau Selatan yang terus mengasak bertubi-tubi ke benteng pelawat dan hasilnya Ghaddar menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-60 selepas percubaan Gonzalo Cabrera sebelum itu ditampan Muhammad Hafizul.

Berita Harian X