Khamis, 20 Julai 2017 | 6:31pm
FARIZAL Marlias kembali beraksi bermula 9 Februari depan. - Foto fail NSTP/Mohd Azren Jamaludin
FARIZAL Marlias kembali beraksi bermula 9 Februari depan. - Foto fail NSTP/Mohd Azren Jamaludin

AFC terima rayuan Farizal Marlias

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membenarkan penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Farizal Marlias kembali beraksi bermula 9 Februari depan.

Keputusan itu diputuskan Jawatankuasa Rayuan AFC, semalam dan ia bermakna tempoh penggantungan setahun dikenakan ke atas Farizal sebelum ini dipendekkan kepada lapan bulan.

Bagaimanapun, Farizal berada di dalam pemantauan badan induk itu selama empat bulan tempoh percubaan.

"Bagi rayuan pemain Johor Darul Ta'zim, Mohd Farizal Marlias, jawatankuasa mengesahkan penggantungan perlawanan 12 bulan daripada bola sepak Asia dan dikenakan denda AS$40,000 (RM171,540).

"Bagaimanapun, penggantungan itu termasuk empat bulan untuk tempoh percubaan daripada setahun.

"Jika Farizal dibuang padang kerana melakukan kekerasan dalam mana-mana perlawanan rasmi dalam tempoh percubaan, penggantungan itu secara automatik akan berjalan," kata AFC dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, AFC mengenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan dengan jumlah denda yang sama ke atas Farizal selepas dia mengasari pengadil pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC bagi zon Asia Tenggara berdepan Ceres Negros, 31 Mei lalu.

Mengikut kepada hukuman awal, Farizal digantung bermula 9 Jun lalu hingga 9 Jun tahun depan.

Malah, mengikut keputusan jawatankuasa berkenaan juga, Farizal dikehendaki menyelesaikan denda dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan berkenaan mengikut Artikel 11.3 dan dia juga diberi amaran hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya mengulangi kesalahan sama.

Berita Harian X