Ahad, 16 Jun 2024 | 8:19am

Sengsara, derita gangguan fibromyalgia

KESAKITAN pada keseluruhan badan, masalah tidur, kelesuan, sering mengalami tekanan emosi dan mental, antara keadaan yang pernah dirasai oleh seseorang.

Jika anda yang pernah merasainya, ia dinamakan gangguan fibromyalgia, iaitu gangguan dicirikan oleh kesakitan pada otot secara meluas disertai oleh keletihan, gangguan tidur, ingatan dan emosi.

Walaupun tidak serius seperti penyakit lain, tetapi jika berlaku ia boleh menyebabkan kehidupan penghidap menjadi tidak produktif.

Ini kerana gangguan itu yang menyebabkan penghidap merasa sakit pada bahagian tertentu badan mereka, turut boleh menyebabkan rasa penat, mengantuk dan emosi tidak stabil.

Bagaimanapun, kesakitan yang mereka alami itu tidak mempunyai penyebab yang spesifik kerana ia berlaku disebabkan bahagian otak menerima isyarat kesakitan melalui isyarat yang dihantar oleh saraf tunjang.

Keadaan itu juga lazimnya berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai waktu rehat yang mencukupi akibat terlalu banyak bekerja ataupun terlalu banyak melakukan aktiviti fizikal tanpa henti.

Mengulas lanjut mengenai fibromyalgia, Pakar Perunding Ortopedik Pusat Perubatan MSU, Dr Ruzaimi Md Yusoff, berkata gangguan itu adalah satu keadaan yang mana penghidap akan mengalami kesakitan di kawasan tertentu di bahagian badan.

Namun katanya, apabila diminta ditunjukkan bahagian kesakitan itu, mereka gagal menunjukkannya kerana tiada tanda penyebab kesakitan itu seperti kesan lebam atau sebarang tanda kecederaan.

"Jika seseorang itu sakit sebagai contoh tangan terkena duri, saraf akan terangsang dan otak akan memberi maklumat kepada badan memaklumkan terdapat kesakitan dan terus menarik tangan yang terkena duri itu.

"Tetapi berbeza dengan fibromyalgia, tiada sebarang kesakitan yang berlaku tetapi saraf terangsang secara tiba-tiba dan ia memaklumkan mengatakan ada kesakitan pada bahagian tertentu.

"Keadaan ini berlaku kerana masalah tidak normal atau gangguan isyarat," katanya.

Tertekan, kemurungan antara simptom fibromyalgia

Bagaimanapun beliau berkata, fibromyalgia juga sering berlaku dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit seperti sakit usus dan migrain.

Selain itu katanya, keadaan penghidap yang mengalami masalah tekanan, kebimbangan atau kemurungan turut menjadi antara faktor yang sering dikaitkan dengan Fibromyalgia.

"Masalah tekanan, kebimbangan atau kemurungan yang terlampau juga boleh menyebabkan otak memberikan isyarat kesakitan pada bahagian tertentu tubuh badan.

"Keadaan itu sudah pasti menyebabkan penghidap merasakan memang mereka sakit hingga mengakibatkan badan menjadi letih, tidak boleh fokus dan pemikiran terganggu akibat keadaan itu," katanya.

Dr Ruzaimi Md Yusoff
Dr Ruzaimi Md Yusoff

Ditanya mengapa wanita paling ramai menghidap Fibromyalgia, akuinya kajian yang dijalankan memang menunjukkan ramai wanita menghidap gangguan itu berbanding lelaki namun tiada jawapan khusus mengapa.

Bagaimanapun katanya, sesiapa sahaja boleh mendapat gangguan itu seawal remaja berusia belasan tahun dengan faktor keturunan atau sejarah keluarga juga sering dikaitkan sebagai faktor penyebab.

"Remaja berusia belasan tahun boleh mendapat gangguan itu kerana di usia berkenaan mereka sering mengalami masalah tekanan," katanya.

Kesan fibromyalgia

Dr Ruzaimi berkata, fibromyalgia bukan satu gangguan yang serius dan ia jarang berlaku tetapi jika penghidap mengalaminya, ia boleh menyebabkan mereka tidak produktif, susah membuat kerja kerana keadaan emosi yang tidak stabil atau kepala boleh menjadi sakit.

Katanya, kesakitan itu juga mungkin juga boleh disebabkan sakit berkaitan sendi seperti Rheumatoid arthritis atau Osteoarthritis kerana kedua-dua penyakit itu turut menunjukkan keadaan yang sama seperti fibromyalgia.

"Jika pemeriksaan termasuk ujian darah menunjukkan keadaan kesakitan yang berlaku bukan kerana Rheumatoid arthritis atau Osteoarthritis, jadi keadaan yang berlaku itu boleh jadi disebabkan fibromyalgia.

"Gangguan ini memang sukar dikesan, perlu lihat masalah lain terlebih dahulu sebelum dapat sahkan ia adalah fibromyalgia kerana gangguan ini biasanya menunjukkan sendi dan saraf dalam keadaan normal," katanya.

Beliau berkata, fibromyalgia juga tiada kaitan dengan penyakit diabetes atau sakit jantung.

Cara rawatan

Bagaimanapun, Dr Ruzaimi berkata, gangguan itu masih boleh dirawat menerusi beberapa kaedah iaitu yang pertama dengan memakan ubat tahan sakit.

Katanya, ubat tahan sakit adalah rawatan untuk jangka masa pendek kerana ia mampu mengurangkan kesakitan sekali gus membuatkan penghidap dapat rehat dengan tenang.

Selain itu katanya, penghidap juga boleh diberikan ubat antikemurungan terutama mereka yang mempunyai masalah tekanan, kebimbangan atau kemurungan.

Rawatan lain pula katanya adalah penghidap diberikan ubat untuk merawat saraf yang bermasalah itu.

"Selain rawatan ubat-ubatan, penghidap juga perlu mendapatkan rawatan fisioterapi untuk merangsang semula otot dan saraf yang sakit untuk mendapatkan semula stamina otot dan saraf sekali gus dapat membantu mengurangkan kesakitan pada bahagian berkenaan.

"Penghidap juga perlu menjalani rawatan kaunseling kerana gangguan ini membabitkan bahagian pemikiran. Kaunseling ini amat membantu dari segi mengurangkan tekanan, kebimbangan atau kemurungan," katanya.

Amalkan gaya hidup sihat

Bagaimanapun beliau berkata, fibromyalgia sebenarnya gangguan yang boleh dielak dan untuk mengelakkannya seseorang itu perlu menjalani gaya hidup yang sihat.

Katanya, paling penting juga adalah berusaha mengurangkan risiko tekanan, kebimbangan dan kemurungan kerana ia adalah antara faktor utama berlaku fibromyalgia.

"Bagi mereka yang terlalu banyak bekerja atau bekerja di rumah sahaja terutamanya, perlu banyakkan senaman atau melakukan aktiviti luar bagi merangsang pemikiran ke arah yang lebih sihat.

"Jika tahap pemikiran tenang, risiko untuk mendapat gangguan ini juga adalah rendah," katanya.

Berita Harian X