Khamis, 13 Jun 2024 | 8:27am
Fungsi kopi sebagai antioksidan bantu melawan molekul berbahaya dalam tubuh dikenali sebagai radikal bebas. - Foto hiasan
Fungsi kopi sebagai antioksidan bantu melawan molekul berbahaya dalam tubuh dikenali sebagai radikal bebas. - Foto hiasan

Minuman kafein atasi kelesuan, kaya antioksidan - kajian pakar

SEKIAN lama kopi dipinggirkan dalam bidang pemakanan kerana dianggap makanan 'tidak bernilai'.

Namun, kopi mengandungi vitamin seperti niasin dan mineral (kalium dan magnesium) selain sebatian fenolik (polifenol) yang berfungsi sebagai antioksidan yang kuat.

Kajian di Norway mengesahkan kopi sumber antioksidan penting dalam pemakanan seharian seperti diperakui Profesor Dr Joe Vinson daripada Universiti Scranton, Pennsylvania.

Antioksidan berfungsi melawan molekul berbahaya dalam tubuh yang dikenali sebagai radikal bebas. Radikal bebas menyerang dan merosakkan sel tubuh yang sihat dan menyebabkan penyakit seperti katarak, jantung, kanser dan penuaan awal.

Tubuh menghasilkan antioksidannya sendiri untuk melawan radikal bebas, tetapi lebih banyak antioksidan diperlukan daripada makanan.

Tubuh kita menghasilkan antioksidan dalam bentuk enzim, tetapi selebihnya diperoleh daripada makanan, termasuk beta karotena, vitamin C, vitamin E, selenium, zink dan sebatian fenolik dalam kopi.

Radikal bebas pula adalah molekul tidak stabil yang dihasilkan sebagai produk sampingan melalui proses semula jadi dalam tubuh apabila sel menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga.

Penghasilan radikal bebas ini terus meningkat akibat amalan diet tinggi lemak, pendedahan kepada radiasi ultraungu matahari, pendedahan kepada bahan pencemaran alam sekitar seperti asap kenderaan atau rokok dan tekanan.

Untuk kesihatan yang baik, harus ada keseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan dalam tubuh. Jika bilangan radikal bebas melebihi bilangan antioksi dan dalam tubuh, ia mungkin berlaku kanser, penyakit jantung dan katarak.

Pengambilan kopi secara sederhana membawa manfaat kesihatan tertentu.

Kini, semakin banyak kajian mencadangkan pengambilan kopi mungkin dapat mengurangkan risiko beberapa penyakit kronik, termasuk diabetes, Parkinson dan penyakit hati.

Ramai beranggapan kafein tidak baik dalam kopi pada hal ia bahan semula jadi di dalam daun, biji dan buah daripada lebih 60 jenis tumbuhan di dunia contohnya biji kopi, koko dan daun teh.

Kemampuan kopi merangsang sistem saraf utama dan kepekaan sesetengah individu terhadap kesan kafein mengakibatkan kopi diberi tanggapan negatif.

Kajian mendapati pengambilan kafein secara sederhana (300 miligram sehari atau tiga cawan kopi), adalah selamat untuk orang dewasa yang sihat.

Kafein mempertingkatkan prestasi mental dengan menambahkan tumpuan dan ketangkasan serta membantu mengatasi kelesuan.

Bagi penggemar kopi nyahkafein, usah risau kerana anda masih menikmati jumlah antioksidan yang sama.

Berita Harian X