Rabu, 12 Jun 2024 | 9:53am
Persekitaran rumah bersih, elak terdedah kepada perengsa seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan dan karpet berhabuk bantu hindar risiko asma. - Foto hiasan
Persekitaran rumah bersih, elak terdedah kepada perengsa seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan dan karpet berhabuk bantu hindar risiko asma. - Foto hiasan

Merungkai pencetus asma, pelan rawat bagi sembuh

ASMA dalam kalangan kanak-kanak antara isu kesihatan yang lazim berlaku, iaitu dikatakan menjejaskan satu daripada 10 orang berisiko mendapat penyakit berkenaan.

Malah, kejadian jangkitan asma lebih tinggi membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 14 tahun.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr Angelina Dr Angelina Subashini Amaladoss, amalan membezakan asma dan selesema penting kerana simptomnya yang serupa namun implikasinya berbeza.

Selesema biasanya disebabkan oleh jangkitan virus dan menunjukkan simptom seperti demam mendadak, sakit badan, sakit kepala, dan sakit tekak, menyebabkan masalah gastrousus seperti muntah atau cirit-birit, namun sembuh dengan cepat dan tidak memerlukan ubat.

Simptom asma

Asma membabitkan simptom lebih lama dan dikaitkan dengan sejarah keluarga seperti resdung, ekzema dan atopi.

Simptom batuk lebih ketara pada waktu malam, awal pagi dan bila penat lelah. Mungkin juga terdapat gejala semput, pernafasan yang cepat, sesak nafas dan sakit dada, tanda resdung dan ekzema.

"Mengenal pasti pencetus asma adalah penting memulakan rawatan yang sesuai.

"Asma memerlukan pendekatan komprehensif untuk pengurusan berkesan, tidak seperti selesema. Diagnosis awal dan tepat penting untuk mencegah komplikasi jangka panjang dan memastikan kualiti hidup kanak-kanak tidak terjejas," katanya.

Peralihan kepada penjagaan asma secara individu

Penjagaan asma bergantung pada simptom dan pencetus yang khusus kepada kanak-kanak.

Rawatan disesuaikan untuk mengurangkan kesan sampingan dan menyasarkan paru-paru secara langsung.

"Dalam rawatan asma, tiada 'one-suit-fits-all.' Rawatan disasarkan khusus untuk paru-paru, berbanding rawatan lama diambil secara oral dan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan.

"Merawat masalah lain seperti resdung juga penting," katanya.

Untuk kes asma yang teruk memperkenalkan ubat baharu dan teknik invasif minimum adalah kemajuan yang paling ketara.

Inhaler kekal sebagai rawatan utama, tetapi untuk kes yang lebih serius, rawatan seperti antibodi monoklonal (omalizumab atau mepolizumab) dan antagonis reseptor leukotriene (LTRA) digunakan untuk menguruskan gejala dengan lebih berkesan.

Persekitaran rumah bersih

Mewujudkan persekitaran rumah penting supaya gejala asma dapat ditangani, selain elak terdedah kepada perengsa biasa seperti asap rokok, vape, kemenyan, bulu haiwan peliharaan, patung mainan dan karpet.

Selain perlu jaga persekitaran dan amal gaya hidup bagi menangani simptom dengan serta-merta agar dapat meningkatkan kualiti untuk kanak-kanak.

"Asma dikawal dengan baik kanak-kanak berkembang dalam akademik dan sukan, mengurangkan lawatan ke klinik dan meningkatkan produktiviti secara keseluruhan.

Ramai ahli sukan antarabangsa, termasuk David Beckham dan Paula Radcliffe, mempunyai asma yang terkawal dan mereka berjaya maju dalam bidang sukan mereka.

Berita Harian X