Selasa, 11 Jun 2024 | 8:01am
Pokok moringa dipanggil 'pokok kehidupan' kerana kemampuannya dikatakan dapat mengurangkan kesakitan dan pelbagai penyakit kronik. - Foto hiasan
Pokok moringa dipanggil 'pokok kehidupan' kerana kemampuannya dikatakan dapat mengurangkan kesakitan dan pelbagai penyakit kronik. - Foto hiasan

Khasiat moringa bantu rawat pelbagai penyakit

Moringa juga dikenali sebagai pokok 'drumstick, adalah tumbuhan perubatan, berasal dari India mungkin asing bagi mereka yang jarang menggunakannya sama ada dalam masakan atau tujuan kesihatan.

Pada dasarnya, moringa ini dikatakan kaya dengan nutrien.

Justeru, pokok moringa kadang-kadang dipanggil 'pokok kehidupan' kerana kemampuannya juga dikatakan dapat mengurangkan kesakitan dan risiko penyakit jantung, ulser dan penyakit kronik lain.

Dalam perubatan tradisional, hampir semua bahagian pokok ini digunakan termasuk daun, kulit kayu, akar dan getahnya.

Di Amerika Syarikat moringa popular dijadikan daun serbuk, suplemen dan rumusan dalam bahan penjagaan kulit.

Kaya dengan antioksidan

Antioksidan membantu mengatasi tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif kronik ialah ketidakseimbangan antara jumlah antioksidan dan radikal bebas dalam sel.

Ia dikaitkan dengan perkembangan penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, dan diabetes.

Pokok moringa penuh dengan sebatian fenolik, iaitu molekul dengan sifat antiradang.

Flavonoid, fenolik dan karotenoid adalah sebatian fenolik ada dalam pokok moringa.

Penyelidik mendapati sebatian fenolik seperti flavonoid boleh meningkatkan kesihatan sistem imun, mencegah penyakit kronik dan melawan keradangan.

Mengelakkan malnutrisi

Satu kajian mendapati tumbuhan moringa boleh membantu menangani malnutrisi, yang berlaku apabila anda tidak mendapat cukup atau terlalu banyak nutrien atau tenaga.

Daun dan biji moringa mengandungi vitamin, mineral dan lemak yang membantu mencegah malnutrisi.

Tumbuhan ini juga kaya dengan vitamin C, vitamin A dan serat.

Kajian juga mendapati serbuk daun moringa meningkatkan indeks jisim badan (BMI) dalam kalangan mereka yang menghidap HIV dan mereka yang menjalani terapi antiretroviral.

Bagaimanapun, hasil kajian itu mencadangkan moringa dapat meningkatkan pengambilan dan status nutrisi sesetengah orang dengan HIV, namun lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Mungkin mengurangkan gula darah

Dalam kajian lain, mendapati pesakit diabetes yang mengambil 20 gram suplemen serbuk daun moringa sehari mempunyai kesan kecil pada kawalan gula darah mereka. Bagaimanapun, tidak cukup penyelidikan untuk mengetahui dengan pasti keberkesanan moringa dalam mengawal gula darah.

Mungkin melegakan gejala menopaus

Moringa mungkin membantu melegakan gejala menopaus seperti rasa hangat panas atau 'hot flashes', berpeluh malam dan kegelisahan.

Menopaus berlaku apabila haid dan ovulasi berhenti, yang biasanya berlaku antara umur 45 hingga 55 tahun.

Menurut satu kajian, moringa mungkin membantu mengurangkan hot flashes kerana kesan tumbuhan ini terhadap tekanan oksidatif.

Apabila terdapat ketidakseimbangan antioksidan dan radikal bebas dalam badan, anda mungkin mengalami hot flashes.

Tekanan oksidatif juga boleh meningkatkan berpeluh malam. Peserta kajian mendapati peningkatan kecil dalam jumlah antioksidan dalam badan mereka, yang mungkin dikaitkan dengan pengurangan keparahan gejala menopaus mereka.

Kesan antipenuaan

Moringa semakin popular sebagai bahan penjagaan kulit. Menurut penyelidikan, ekstrak moringa mempunyai sifat antipenuaan untuk kulit.

Krim yang mengandungi sekurang-kurangnya tiga peratus ekstrak daun moringa membantu memperbaiki kelembutan kulit anda.

Kajian mendapati bahawa krim moringa juga meningkatkan keanjalan kulit. Kandungan vitamin C dan E yang tinggi dalam tumbuhan moringa membantu meremajakan dan menyerikan kulit.

Bagaimanapun, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengetahui sejauh mana kesan krim moringa terhadap kulit anda dari masa ke masa.

Berita Harian X