Isnin, 10 Jun 2024 | 9:01am
Pelbagai jenis ulam kaya dengan pelbagai khasiat untuk meningkatkan kesihatan yang baik. - Foto hiasan
Pelbagai jenis ulam kaya dengan pelbagai khasiat untuk meningkatkan kesihatan yang baik. - Foto hiasan

9 jenis ulam kaya khasiat, pembuka selera paling 'mantap'

AMALAN makan ulam sudah menjadi budaya masyarakat Melayu sejak turun-temurun lagi.

Ada juga yang tidak berselera makan jika tiada ulam atau sayur mentah, paling tidak timun yang biasanya dicicah bersama sambal belacan.

Selain dijadikan sebagai pembuka selera, ulam dikatakan antara makanan yang boleh membantu seseorang kelihatan awet muda dan cantik.

Ini disebabkan kebanyakan ulam atau sayuran berkenaan mengandungi banyak nutrien penting serta bahan antioksid dan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas.

Namun, ramai yang masih tidak mengetahui apa juga yang dinikmati hari ini sebenarnya pelaburan kepada kesihatan secara berterusan.

Kesan pelaburan ini pula banyak bergantung kepada jenis makanan yang diambil kerana jika sering mengamalkan diet yang banyak mengandungi lemak, ia memungkinkan masalah pertambahan berat badan dan paras kolesterol.

Makan sayur lebih sihat

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula antara lain membantu diri kelihatan lebih sihat dan menarik.

Kebanyakan ulam sesuai diamalkan setiap hari kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi.

Ulam boleh dikategorikan sebagai sayur mentah seperti salad dan ia tidak mendatangkan sebarang keburukan sekiranya dimakan setiap hari.

Berikut 9 jenis ulam boleh anda amalkan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan kerana mengandungi pelbagai vitamin:

Elak makan ulam cicah belacan

Ulam memang elok untuk kesihatan dan ia sudah menjadi amalan masyarakat sejak sekian lama.

Ulam boleh dimakan setiap hari kerana ia tidak mengandungi kalori seperti sesetengah makanan lain.

Tetapi harus diingat, ulam yang dimakan bersama sambal belacan tidak digalakkan untuk diamalkan kerana ia (sambal belacan) mengandungi kandungan garam serta kolesterol yang tinggi.

1. Pegaga

Pegaga, nama saintifiknya Cantella asiatica biasanya tumbuh melata di keliling rumah dan mempunyai pelbagai khasiat.

Ia kaya vitamin dengan A dan C serta zat besi yang sering dijadikan sayur-sayuran 'rasmi' untuk wanita ketika berpantang.

Ia membantu membangkitkan selera makan, meredakan masalah penghadaman seperti buasir, menyejukkan badan, mempercepatkan proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah.

Rawatan tradisional Cina menggunakan timun sebagai makanan kesihatan, khususnya untuk menyingkirkan bahan toksik dari badan.

2. Ulam Raja

Antaranya ia dapat melancarkan peredaran darah selain mampu menguatkan tulang serta menyingkirkan toksik dalam badan, selain menghaluskan kulit dan mengatasi masalah alahan.

3. Daun kaduk

Dibelek-belek rupanya seperti daun sireh, namun daun kaduk berbeza rasa. Lazimnya restoran Siam (cita rasa masakan Thailand), ada disediakan daun kaduk sebagai pembuka selera

Walaupun rasanya sedikit pahit, manfaatnya dipercayai boleh membantu menurunkan kadar kolesterol, mengatasi masalah sembelit, sakit tulang belakang dan sakit gigi.

Timun antara ulam yang sering jadikan pembuka selera juga miliki aneka khasiat untuk merawat beberapa penyakit. - Foto hiasan
Timun antara ulam yang sering jadikan pembuka selera juga miliki aneka khasiat untuk merawat beberapa penyakit. - Foto hiasan

4. Timun

Amalan makan timun juga boleh membantu mengatasi masalah sakit tekak, gatal kerongkong, batuk, merendahkan tekanan darah, menambah selera makan serta untuk penjagaan kecantikan kulit wajah.

5. Cekur

Cekur, Ia adalah ulam yang biasa daripada keluarga halia tetapi jarang mendapat perhatian.

Cekur mempunyai banyak khasiat, khususnya untuk mengubati batuk, sakit tekak dan meredakan demam.

Selain dimakan mentah, hirisan akarnya boleh dijadikan perencah untuk menaikkan rasa masakan, mempunyai bahan antibakteria, antikulat dan antikeradangan.

6. Kunyit

Walaupun rasanya kurang disenangi, kunyit muda sangat berkhasiat untuk dijadikan ulam.

Kajian mendapati kunyit mengandungi banyak bahan antioksi dan yang lebih baik berbanding vitamin C dan E serta mampu melindungi sistem kardiovas kular, merendahkan kadar kolesterol dalam darah dan merawat demam kuning.

7. Petai

Petai mempunyai bau kuat tetapi tetap menjadi kegemaran ramai, sama ada dimakan mentah atau dimasak bersama sambal tumis.

Sebenarnya pucuk petai juga boleh dijadikan ulam dan ia dikatakan baik untuk membantu mengawal penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.

8. Bunga telang

Warna ungu bunga telang mempunyai khasiat tersendiri, selain digunakan untuk membuat masakan nasi kerabu, ia juga jika direndam dan diminum baik untuk kesihatan dalaman wanita, menyerikan wajah, mencantikkan kulit, insomnia, masalah gatal kulit, keradangan dan banyak lagi.

Bunga telang dikatakan amat popular dalam perubatan tradisional India digunakan untuk rumusan tonik yang dipercayai mampu meningkatkan daya ingatan. Paling mudah, ia dijadikan ulam sebagai pembuka selera.

9. Kacang bendi

Kacang bendi mengandungi 'myricetin (lavonoid sebatian polifenol). Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) bendi mengandungi kalsium tinggi untuk pembentukan tulang, vitamin K bantu untuk mengurangkan keretakan tulang akibat rapuh dan risiko osteoporosis, meningkatkan kesihatan mata dan banyak lagi.

Penyelidik juga mendapati ekstrak 'myricetin' daripada kacang bendi dan diberikan kepada tikus makmal dan hasilnya menunjukkan ia meningkatkan penyerapan gula boleh menurunkan kadar glukosa darah (ujian dilakukan terhadap tikus). Lantas ia sesuai untuk pesakit diabetes.

Berita Harian X