Sabtu, 8 Jun 2024 | 11:49am
Foto hiasan
Foto hiasan

600 jenis bakteria 'bersarang' dalam mulut

Hari Bebas Rokok disambut seluruh dunia bertemakan 'Protecting Children from Tobacco Industry Interference, pada 31 Mei setiap tahun.

Hakikatnya sambutan seumpama itu wajar sentiasa diuar-uarkan berikutan angka perokok belum berkurangan.

Kini, situasi diburukkan lagi dengan kehadiran produk tembakau lain seperti vape dan rokok elektronik yang kian agresif digunakan oleh kanak-kanak sekolah rendah dan menengah.

Sedihnya yang muda daif dengan potensi menghidap pelbagai penyakit kronik akibat keseronokan menyedut bahan-bahan kimia ini.

Pelbagai penyakit dikaitkan dengan akibat merokok berisiko kepada organ tubuh seperti paru-paru dan jantung.

Antara wajar diberi perhatian adalah pembabitan organ mulut dengan isu tembakau dan produk tembakau.

Mulut adalah organ pertama pentingnya apabila lahirnya bayi di dunia dengan jeritan tangisan hingga dewasa.

Pakar dan Perunding Kesihatan Pergigian Awam juga Ahli Kumpulan Penyelidik Penagihan Nikotin (NARCC), Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Karim Othman, berkata mulut mempunyai hubungan langsung dengan organ lain dalam tubuh termasuk dapat meningkatkan kualiti hidup.

Laporan Tahunan Badan Kesihatan Sedunia (BKS) 2020 mencatatkan 3.5 bilion warga global menghidapi penyakit mulut khususnya kaviti gigi, sehingga menjadikan ia penyakit kronik nombor satu di dunia berbanding penyakit diabetes ataupun jantung.

Data terperinci BKS menggambarkan 2.3 bilion dari jumlah di atas menderita karies gigi kekal, selebihnya menghidap karies gigi susu, 796 juta mengidap penyakit gusi, sementara kanser bibir dan mulut mencatat nombor 15 kanser terpenting dengan catatan angka melebihi setengah juta setiap tahun.

Kematian disebabkan kanser mulut pula membabitkan sekurang-kurangnya 180,000 nyawa setiap tahun.

Beliau juga Pengerusi, Pertubuhan Pergigian Bebas Kaviti Malaysia, berkata ramai tidak sedar mulut mempunyai penghuni bakteria yang terbanyak dalam tubuh.

"Jumlahnya tidak kurang daripada 600 jenis bakteria pelbagai rupa, nama dan bentuk.

"Kajian saintifik beberapa abad dulu menunjukkan perpindahan bakteria mulut dimulai dengan ciuman ibu atau bapa kepada si bayi yang baru lahir. Jumlah bakteria ibu atau bapa pula mencecah hitungan jutaan setiap saat manusia bernafas.

"Yang membimbangkan, ada 37 jenis bakteria terbabit secara langsung dengan kejadian penyakit pelbagai jenis organ mulut termasuk gigi, gusi, tisu lembut yang melapik tulang, bibir dan lain-lain.

"Bakteria ini akan tersangkut di atas selaput nipis atau membran yang dihasilkan oleh air liur semula jadi.

"Membran ini menyelubungi dan menempel diatas permukaan gigi, lidah, lelangit, gusi, gusi dan sebagainya.

"Keadaan ini dirumitkan pula dengan kitaran hidup bakteri yang singkat," katanya.

Bakteria beraksi jadi asid, bahan beracun

Bakteria dan sel-sel darah mulut yang mati perlu dibuang daripada rongga mulut dan celah-celah gigi dan lidah setiap hari.

Jika dibiarkan lama, bakteria akan beraksi dengan cebisan sisa-sisa makanan membentuk asid dan sisa bahan beracun.

Toksin ini menjadikan mulut berbau, air liur basi merasa lebih asam dan menjadi musuh kepada lapisan gigi yang keras, gusi dan tisu lembut mulut lainnya.

Maka memberus gigi dua kali setiap setiap hari bukan hanya membersihkan mulut daripada kotoran, tetapi dapat mengawal jumlah bakteria dalam mulut.

"Walaupun tak hapuskan bakteria, sekurang-kurangnya dapat menjaga agar hanya bakteria 'muda' yang menghuni rongga mulut setiap hari.

"Kajian saintifik menunjukkan bakteria 'muda' kurang ganas dibandingkan dengan yang tua dan hidup lama dalam mulut," katanya.

Foto hiasan
Foto hiasan

Hubung kait rokok, e-rokok, vape, shisha

Beliau berkata, rokok, vape dan shisha ada bahan kimia dan tar itu akan menempel pada permukaan gigi dan sukar dibuang dengan berus gigi.

Bakteria akan melekat pada lapikan tar dan akan membiak dan mati di situ. Cairan sisa reaksi bakteria dan sisa kotoran mulut akan menjadi racun kepada gusi dan tisu lembut mulut.

Hubung kait ini disahkan melalui pelbagai kajian makmal mau pun klinikal.

Gigi menjadi bengkak, berdarah dan bernanah dan memerlukan rawatan yang rumit terutama jika mereka penderita . kencing manis, jantung, paru-paru antara lainnya.

Pengguna vape atau shisha turut memudaratkan organ rongga mulut dan organ dalaman tubuh.

Bahan kimia dan asap vape, e-rokok dan shisha akan membakar dan menimbulkan reaksi toksik terhadap tisu lembut rongga mulut menyebabkan bakteria bermutasi menjadi bakteria lebih ganas di samping organ lembut mulut berubah bentuk dan akhirnya membentuk kanser mulut atau bibir yang lebih memudaratkan.

Keadaan ini boleh berjangkit ke bahagian tonsil dan organ tubuh lain. Antara petanda buruk adalah hadirnya kudis di bibir atau tisu lembut mulut yang sukar sembuh atau berulang kejadiannya.

Kudis bibir dan tisu lembut didapati mempunyai kecenderungan untuk bertukar menjadi kanser.

Hanya perokok mempunyai 'hak' untuk merokok, tetapi rakyat yang lebih ramai dan tidak merokok mempunyai hak sama rata atau lebih untuk mahukan hidup selamat, sihat dan bebas daripada malapetaka rokok dan bahan alat hisapan rokok lain.

'Stick' pula muncul

Kini ada pula 'stick' dalam aneka bentuk mainan hingga menarik perhatian pelajar.

Ada pula yang mengatakan konon bahan ini kurang berbahaya kerana belum ada kajian menunjukkan demikian.

Realitinya, benda asing yang masuk ke dalam mulut atau melalu hidung ada bahayanya kerana kedua-dua organ berkait rapat.

Realitinya rokok, produk rokok atau yang berkaitan tidak akan membawa manfaat kepada rakyat Malaysia terutama generasi akan datang.

Malah, ia akan menimbulkan banyak kemudaratan kepada kualiti hidup individu dan masyarakat sehingga menimbulkan stres, hilang keyakinan diri dan gangguan mental dan hilang arah tujuan hidup yang tidak mustahil akan membawa kepada sindrom kecenderungan bunuh diri.

Di samping itu, ketagihan merokok tidak membantu sistem perkhidmatan kesihatan, sebaliknya akan meningkatkan kos rawatan sehingga membebankan kerajaan dan individu yang sakit.

Oleh itu, sudah tiba masanya agensi berkaitan dengan isu rokok melakukan kajian dan menyemak semula keputusan terdahulu khususnya dalam pembangunan polisi seperti melihat semula Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau 2022 agar menjadi realiti.

Berita Harian X