Sabtu, 1 Jun 2024 | 8:37am
Kismis lazimnya popular ketika musim perayaan untuk dijadikan campuran kek, biskut atau mufin, tetapi mungkin kurang dijadikan sajian ringan seharian.
Kismis lazimnya popular ketika musim perayaan untuk dijadikan campuran kek, biskut atau mufin, tetapi mungkin kurang dijadikan sajian ringan seharian.

Kismis 1,001 macam khasiat, tapi kenapa ramai tak suka?

Heading: Kismis 1,001 macam khasiat, tapi kenapa ramai tak suka?

Kiker: Kismis kaya serat, tidak mengandungi sodium, lemak, kolesterol

 

KISMIS lazimnya popular ketika musim perayaan untuk dijadikan campuran kek, biskut atau mufin, tetapi mungkin kurang dijadikan sajian ringan seharian.

Barangkali ia dianggap kurang mengenyangkan namun hakikatnya, kismis memang kaya dengan 1,001 macam khasiat, menjadikannya sesuai bukan saja untuk kanak-kanak, malah golongan dewasa.

Justeru, anda wajar ketepikan 'kebencian' terhadap makanan Sunnah ini, kerana khasiat kismis meliputi pelbagai aspek termasuk dari segi kandungan kalori dan antioksidan serta membantu penjagaan gigi.

Kismis adalah sumber antioksidan yang baik manakala pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh membantu menyediakan perlindungan daripada beberapa masalah berkaitan penuaan.

Antioksidan didapati pada kismis dikenali sebagai catechin adalah daripada keluarga antioksidan yang sedia diserap.

Bahan terbabit membantu untuk meningkatkan kesihatan usus besar.

Selain kismis, ia boleh ditemui dalam epal dan anggur serta minuman seperti coklat dan teh.

Selain itu, kismis menyediakan kandungan potassium dan serat. Ia turut mengandungi fruktosa iaitu gula buah semula jadi iaitu sumber tenaga yang baik.


Untuk mereka yang prihatin mengenai penjagaan berat badan, kismis tidak mengandungi sodium, lemak mahupun kolesterol apatah lagi ia mudah dijadikan sajian seharian.

Bagi mendapatkan kandungan serat yang baik, disarankan pengambilan dua sajian kismis setiap hari.

Menurut anggaran, suku cawan kismis bersamaan dengan satu sajian buah-buahan.

Kismis juga boleh membantu untuk memerangi masalah plak gigi dan penyakit gusi.

Berdasarkan kajian Kolej Pergigian, Universiti Chicago, kismis mengandungi bahan 'phytochemical' yang menyekat pertumbuhan bakteria di dalam mulut.

Ini sekali gus membantu mengurangkan masalah penyakit gusi dan kerosakan gigi.

Jika sering memikirkan kuih-muih sebagai sajian ringan, kismis juga boleh dijadikan sajian ringan yang menarik kerana ia adalah sumber tenaga yang baik.

Ia mengandungi kira-kira 35 peratus fruktosa dan 35 peratus glukosa.

Fruktosa adalah bentuk gula semula jadi yang mudah dihadam untuk mendapatkan tenaga segera. Malah, ia menyediakan sumber tenaga berterusan berbanding snek seperti donut.

Pemilihan makanan yang sihat mampu dijadikan tabiat yang akan berkekalan seumur hidup mereka.

Misalnya, menyediakan sajian menyihatkan seperti kismis untuk kanak-kanak bukan saja memudahkan ibu bapa memandangkan kurangnya waktu persediaan sajian terbabit malah ia menyediakan khasiat diperlukan kanak-kanak.

Pemakanan yang baik sememangnya menyediakan permulaan yang baik untuk kehidupan awal kanak-kanak justeru, ia penting bagi ibu bapa membuat pilihan tepat untuk anak mereka.

Sajian mudah menggunakan kismis bukan saja menjimatkan masa, malah membolehkan ibu bapa meluangkan lebih waktu untuk anak mereka.

Berita Harian X