Jumaat, 31 Mei 2024 | 10:31am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Anak 'liat' makan sayur? Cuba 11 cara ini..

SAYUR antara elemen penting yang perlu diberikan perhatian ketika menyediakan makanan untuk kanak-kanak.

Jika anak enggan menikmatinya, usahlah berasa kecewa kerana anda bukan satu-satunya ibu bapa yang menghadapi masalah ini.

Tidak dinafikan sayur-sayuran penting untuk diet anak. Doktor dan ahli pemakanan bersetuju mengenai kepentingan sayur-sayuran.

Ini dititikberatkan dalam Piramid Panduan Makanan.

Sayur-sayuran diletakkan pada aras kedua dan harus diambil paling banyak selepas makanan karbohidrat.

Kebaikan sayur-sayuran tidak terhingga. Pertama, ia rendah lemak, kalori dan natrium serta tidak mengandungi kolesterol.

Sayur-sayuran mengandungi vitamin, mineral, serat, karotenoid dan bahan bio-aktif dipanggil fitokimia.

Sebenarnya, setiap jenis sayuran mempunyai pakej nutrien tersendiri. Setiap jenis sayur-sayuran berbeza dari segi jumlah dan jenis nutrien dibekalkan.

Vitamin dan mineral dalam sayur-sayuran membantu tumbesaran, membina sistem ketahanan diri sihat dan memelihara kesihatan secara keseluruhan.

Jika anak kekurangan vitamin serta mineral penting ini, dia mungkin terdedah kepada pelbagai jangkitan dan penyakit.

- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bantu sistem penghadaman

Serat diet yang ada dalam sayur-sayuran membantu membina sistem penghadaman sihat dan mencegah sembelit di kalangan kanak-kanak.

Karotenoid pula adalah sejenis fitokimia melindungi anak daripada pelbagai penyakit kronik.

Cara terbaik memastikan anak anda mendapat semua khasiat sayur-sayuran ialah dengan memberikannya pelbagai jenis sayur-sayuran.

Pastikan makanan harian anak anda mengandungi pelbagai jenis kumpulan sayuran seperti berikut:

* Sayuran berdaun hijau, misalnya bayam, sawi, kailan, kangkung.

* Sayuran berbatang misalnya saderi

* Sayuran jenis akar misalnya lobak

* Sayuran jenis buah misalnya tomato dan terung.

* Sayuran kekacang misalnya kacang buncis dan kacang panjang.

* Sayuran jenis bunga misalnya kubis, kubis bunga dan brokoli.

Dengan itu, pastikan anak anda mengambil dua hidangan sayur-sayuran setiap hari. Ia bersamaan setengah cawan sayuran daun hijau dimasak bersama batangnya boleh dimakan dan setengah cawan sayuran jenis lain.

Anak anda hanya memerlukan dua hidangan sayuran setiap hari dan anda boleh menukar banyak jenis sayuran setiap hari.

Satu cara memastikan anak anda suka sayur-sayuran ialah memberikan kepada mereka sejak kecil. Ini boleh dilakukan ketika makanan pelengkap mula diberikan iaitu dari umur empat hingga enam bulan ke atas.

Inilah masanya anak anda diperkenalkan kepada pelbagai makanan separuh pejal. Jadi, sayur-sayuran diberikan itu haruslah dilumatkan atau dimasak sehingga lembut dan diberikan satu hingga dua sudu teh setiap kali.

Membiasakan anak rasa sayur-sayuran sejak kecil membantu mengurangkan kebarangkalian anak anda tidak suka sayur-sayuran ketika mereka membesar kelak.

Sekiranya anda baru memperkenalkan sayuran kepada anak yang berada di peringkat bertatih atau prasekolah, anda mungkin menghadapi masalah.

Bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana masih belum terlambat.

Apa caranya? Cuba cara ini:

1. Anda hanya perlu terus memujuknya dengan sabar untuk mengambil sedikit sayur setiap kali makan.

2. Berikannya dalam jumlah yang kecil. Anda boleh menggalakkan anak mengambil sayur-sayuran dengan memberikan contoh yang baik.

3. Galakkan seisi keluarga mengambil pelbagai sayur-sayuran.

4. Tunjukkan anak betapa anda menikmati sayuran dan dia mungkin ingin mencubanya.

5. Seperti makanan lain, sayur-sayuran perlu dimasak dengan cara sedap untuk merangsangkan deria rasa.

6. Pelbagaikan cara memasak setiap hari satu cara menarik minat anak terhadap sayuran.

7. Usaha anda itu mungkin tidak mudah dan selalunya mengecewakan.

8. Bagaimanapun, ingatlah cara untuk menggalakkan anak anda makan sayuran dengan mengubah pendapat mereka terhadap sayuran.

9. Jangan memaksa atau memarahi anak anda terhadap pengambilan sayuran jika mereka enggan menikmatinya.

10. Anda harus memberitahu secara berterusan mengenai kebaikan sayuran dan menggalakkan menerokai keenakan sayuran sendiri.

11. Jadikanlah kegiatan makan itu seronok dan penuh dengan daya imaginasi.

Berita Harian X