Isnin, 4 March 2019 | 10:19am
Kejadian feri terbakar baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan penumpang. - Foto ihsan Pembaca
Kejadian feri terbakar baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dari aspek keselamatan penumpang. - Foto ihsan Pembaca

Pastikan operasi pengangkutan awam selamat

Kejadian feri Dragon Star 1 membawa 52 penumpang dan enam kru terbakar di perairan Langkawi ketika dalam perjalanan menuju Kuala Perlis. menarik tumpuan ramai.

Susulan kejadian itu, Jabatan Laut Malaysia mengarahkan semua feri perkhidmatan penumpang syarikat Dragon Star Ship-ping Sdn Bhd menghentikan operasi serta-merta untuk tujuan siasatan.

Sebenarnya, kes membabitkan syarikat ini pada 25 Februari lalu bukan yang pertama, kerana operasinya pernah digantung pada Oktober lalu susulan kesalahan membabitkan penumpang tersadai di tengah laut akibat kerosakan enjin feri.

Kejadian terbaru ini memberi tafsiran keselamatan setiap penumpang feri diancam syarikat terbabit yang dilihat kurang bertanggungjawab.

Lantas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin, mengumumkan operasi syarikat berkenaan dihentikan, apabila mengakui menerima banyak aduan perkhidmatan feri syarikat itu daripada penumpang tempatan dan luar negara.

Kaji kelemahan SOP

Sewajarnya Jabatan Laut Malaysia mengkaji semula setiap kelemahan aspek prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berhubung perkhidmatan feri Langkawi, sama ada yang menghubungkan Kuala Kedah atau Kuala Perlis.

Saya setuju cadangan EXCO Kedah agar tumpuan utama kajian perlu diberikan kepada aspek keselamatan penumpang.

Antara yang perlu dilihat ialah tempoh pemeriksaan feri berkala yang ketika ini dianggap panjang dan tidak menentu, selain had usia feri dibenarkan membawa penumpang. Pemeriksaan pelepasan feri pula hanya membabitkan dokumentasi tanpa pemeriksaan enjin sebenar.

Dengan kemalangan yang tidak diingini sudah berlaku, syarikat pengangkutan tidak kiralah yang beroperasi di udara, laut dan darat, harus berwaspada.

Tindakan wajar perlu segera diambil supaya keselamatan dan nyawa penumpang serta kru dapat dijamin dan dipelihara.

Si Sedar

Berita Harian X