Jumaat, 29 Jun 2018 | 8:45am
Pemerkasaan bahasa kebangsaan membantu mengukuhkan perpaduan kaum terutama sejak peringkat sekolah. - Foto hiasan
Pemerkasaan bahasa kebangsaan membantu mengukuhkan perpaduan kaum terutama sejak peringkat sekolah. - Foto hiasan

Martabat bahasa Melayu sebagai medium rasmi perpaduan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan kita.

Merujuk polemik penggunaan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini, ABIM menyatakan pandangan balas dikemukakan menteri berkenaan bahawa Perlembagaan Persekutuan membenarkan bahasa lain diguna dalam urusan rasmi adalah bercanggah dan salah sama sekali.

Ini kerana Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa hanya bahasa Melayu boleh digunakan dalam urusan rasmi dan "tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajarkan atau belajar apa-apa bahasa lain."

Hakikatnya, dalam setiap urusan rasmi kerajaan termasuk dalam memberi kenyataan rasmi sama ada di peringkat persekutuan, negeri, mahupun pihak berkuasa awam, wajib menggunakan bahasa kebangsaan selaras dengan tafsiran maksud rasmi yang dinyatakan dalam Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan.

Ini ditegaskan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menerusi Perkara 2, iaitu "Bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi" yang mana ia secara langsung mengukuhkan peranan bahasa Melayu dalam pentadbiran Persekutuan.

Walaupun Perkara 3 menyatakan kerajaan berhak menyediakan terjemahan mengikut keperluan, ia adalah bersifat untuk melengkapi sebarang kenyataan rasmi dalam bahasa Melayu.

Sikap tak serius

ABIM berpandangan salah faham yang timbul ini ekoran sikap tidak serius pihak berwajib mendaulatkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, seolah-olah ia hanya satu simbol kosong cerminan latar budaya Malaysia.

Sebaliknya, ia harus difahami dan dihayati sebagai asas penyatuan dan perpaduan rakyat yang seterusnya membawa kepada pembentukan Bangsa Malaysia dengan ciri utama yang dicatat dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menerusi medium pemerkasaan bahasa kebangsaan.

Di samping itu, sikap acuh tak acuh kita dalam mendidik generasi pelajar supaya cintakan bahasa kebangsaan akan turut menyumbang kepada salah faham dan sikap meremehkan bahasa kebangsaan pada masa mendatang.

Ini termasuk dalam menggunakan bahasa, selain bahasa Melayu secara berlebih-lebihan dalam acara rasmi atau kenyataan rasmi di media massa.

Justeru, ABIM menggesa semua pihak, khususnya kerajaan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan secara serius dalam setiap urusan rasmi selaras janji Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 pakatan berkenaan.

ABIM menegaskan pemerkasaan bahasa kebangsaan perlu dinilai sebagai acuan untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum dan bukan sebagai bahan menyemarakkan ketegangan dan salah faham sesama masyarakat.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Berita Harian X