Jumaat, 8 Jun 2018 | 12:47pm
SERAMAI 890,000 orang tidak merokok menjadi mangsa kerana terdedah kepada asap rokok. Mereka mencakupi orang dewasa, wanita hamil, kanak-kanak dan bayi. - Foto hiasan
SERAMAI 890,000 orang tidak merokok menjadi mangsa kerana terdedah kepada asap rokok. Mereka mencakupi orang dewasa, wanita hamil, kanak-kanak dan bayi. - Foto hiasan

Ramadan masa terbaik latih diri henti merokok

Hari Tanpa Tembakau Sedunia disambut pada 31 Mei setiap tahun seiring kandungan dalam perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diwujudkan sejak Februari 2005, ditandatangani lebih 181 pihak bagi melindungi lebih 90 peratus penduduk dunia.

Tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2018 ialah 'Tembakau dan Penyakit Jantung.' Kempen ini akan meningkatkan kesedaran mengenai hubungan di antara tembakau dan jantung yang membabitkan penyakit kardiovaskular (CVD), termasuk strok, penyebab utama kematian di dunia.

Fokus utama tema kali ini berkaitan tindakan dan langkah yang boleh dilaksanakan kerajaan dan masyarakat dalam mengurangkan risiko kepada kesihatan jantung yang disebabkan oleh tembakau.

Selain itu, tema kali ini bertepatan dengan pelbagai inisiatif dan peluang global yang bertujuan menangani penggunaan tembakau dan kesannya terhadap kesihatan awam terutama dalam menyebabkan kematian dan penderitaan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

Menariknya, sambutan ini disemarakkan ketika puasa yang memberikan ribuan faedah kesihatan kepada umat Islam yang dituntut mengawal diri daripada hawa nafsu, menahan lapar dan dahaga termasuk tidak menghisap apa jua bentuk rokok bermula awal pagi sehingga terbenam matahari.

Menghisap rokok pada waktu siang bukan sekadar membatalkan puasa, tetapi sememangnya diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 23 Mac 1995. Fatwa itu dikeluarkan sejajar firman Allah SWT bermaksud: "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan". (Surah Al Baqarah: 195)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu". (Surah An Nisa': 29)

Bunuh lebih 7 juta orang

Ia disokong dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Tidak (boleh melakukan/menggunakan sesuatu) berbahaya atau membahayakan". (Riwayat Ibnu Majah dan dishahihkan oleh Al-Albani).

Bahaya adalah penyebab utama pengharaman rokok dalam Islam. Menurut Laporan WHO 2018, rokok atau tembakau sudah membunuh lebih tujuh juta orang setiap tahun dengan lebih enam juta kematian itu hasil penggunaan rokok atau tembakau secara langsung.

Seramai 890,000 orang tidak merokok menjadi mangsa kerana terdedah kepada asap rokok. Mereka mencakupi orang dewasa, wanita hamil, kanak-kanak dan bayi.

Bagi orang dewasa, asap rokok boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular dan pernafasan yang serius, termasuk penyakit jantung dan kanser paru-paru, manakala bagi bayi, asap rokok boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

Kesan kepada wanita hamil pula, menyebabkan berat badan bayi yang baru lahir susut. Pada 2004, kanak-kanak menyumbang sebanyak 28 peratus daripada kematian yang disebabkan oleh asap rokok.

Ketua Pegawai Eksekutif Mysihat, Dr Manimaran Krishnan, menyatakan hampir 20,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat komplikasi merokok.

Sehingga kini terdapat sejumlah lima juta perokok di Malaysia dengan lelaki adalah yang tertinggi (43 peratus), manakala perokok wanita menunjukkan peningkatan, iaitu hanya 1 peratus pada 2011 kepada 1.4 peratus pada 2015.

Menjelang 2020, semua negeri, termasuk Wilayah Persekutuan akan melaksanakan negeri Bebas Asap Rokok dan seterusnya menuju ke pengakhiran atau End Game of Tobacco, iaitu prevalen kurang daripada 5 peratus pada 2045.

Umum tahu semua jenis rokok, termasuk rokok elektronik mengandungi nikotin. Nikotin ialah satu daripada lebih 4,000 bahan toksik yang ada dalam rokok dengan 250 bahan dikenal pasti berbahaya dan 50 lagi penyebab kepada kanser.

Maka tidak hairan apabila sejumlah tokoh ulama dunia mengharamkan rokok, antaranya Syeikhul Islam Ahmad al-Sanhuri al-Buhuti al-Hanbali (Mesir), Syeikh Abu Ghaith al-Qasyasyi al-Maliki (Maghribi), Syeikh Najmuddin bin Badruddin al-Arabi al-Ghazzi al-Amiri al-Syafie (Syria).

Selain itu, Syeikh Ibrahim Jam'an (Yaman), al-Muhaqqiq Abdul Malik al-Ishami (al-Haramain) dan Sayyid Sa'd al-Balkhi al-Madani (Turki) seperti yang dinukilkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Min Hady al-Islam Fatawa Mu'asirah.

Pantau dasar guna, cegah tembakau

Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah sewajarnya dalam meningkatkan kesedaran berkaitan bahaya tembakau seperti disarankan WHO iaitu;

Memantau dasar penggunaan dan pencegahan tembakau, melindungi masyarakat daripada terdedah kepada asap rokok seperti memperbanyakkan zon bebas rokok seperti tempat awam, tempat kerja dan pengangkutan awam, menawarkan bantuan khas untuk berhenti merokok.

Mempelbagaikan amaran mengenai bahaya rokok melalui infografik lebih besar, sama ada pada kotak rokok mahupun pembungkusan pakej rokok yang lebih besar, melaksanakan kempen media massa antirokok yang berkesan.

Selain itu, menguatkuasakan larangan komprehensif mengenai pengiklanan rokok, promosi dan penajaan serta menaikkan cukai ke atas produk rokok dan tembakau.

Marilah kita jadikan Ramadan yang penuh kemuliaan ini sebagai titik tolak untuk berhenti merokok selamanya. Ramadan adalah bulan untuk melatih diri agar lebih berdisiplin kerana perokok mampu berhenti merokok sekitar 13 hingga 14 jam ketika berpuasa.

Hasil kajian mendapati 95 peratus perokok Muslim menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok pada bulan puasa. Ada pelbagai kaedah untuk berhenti merokok pada Ramadan, antaranya ialah melewatkan waktu bersahur bagi mengurangkan ketagihan kepada bahan terbabit.

Pensyarah Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Shaiful Ehsan, berkata perokok yang langsung tidak bersahur dan bersahur awal lebih mudah mengalami simptom ketagihan merokok, selain dipercayai menyebabkan sesetengah perokok mengalami kesan ketagihan lebih buruk.

Sokongan ahli keluarga, rakan sekerja, komuniti setempat dan kerajaan mampu melestarikan program berhenti merokok dalam kalangan rakyat Malaysia. Jadikan Ramadan sebagai bulan bebas rokok.

Muhammad Hafiz Badarulzaman
Pengarah Unit Debat, Advokasi dan Oratori, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X