Selasa, 4 Jun 2024 | 10:06am
Peruntukan sebanyak RM2 juta daripada PIBN bagi menggalakan penerbitan buku kanak-kanak di dalam negara. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Peruntukan sebanyak RM2 juta daripada PIBN bagi menggalakan penerbitan buku kanak-kanak di dalam negara. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Dana RM2 juta terbit buku kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Tiada sebab untuk dunia perbukuan di Malaysia gagal menghasilkan naskhah berkualiti malah sebenarnya mampu menjadikannya bahan dagangan hingga ke peringkat antarabangsa.

Di pihak kerajaan terlalu banyak inisiatif yang disediakan dan antaranya adalah dana khas dinamakan Dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN), khusus kepada penerbit bumiputera.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari, berkata PIBN disalurkan melalui Kementerian Kewangan untuk membantu penerbit bumiputera serta memperkembangkan industri perbukuan negara.

Dana itu sudah bermula sejak 2007 dan DBP katanya bertanggungjawab sebagai urus setia untuk menguruskan permohonan dana ini dengan tatacara ditetapkan.

"Kaedahnya bukan DBP terbitkan tapi kita keluarkan sejumlah peruntukan bagi membantu syarikat penerbit dalam kerja pembinaan judul baharu termasuk proses penyelidikan, penulisan, penilaian, penyuntingan dan penyediaan ilustrasi supaya dapat memenuhi kehendak pembaca.

"Secara kesimpulannya, ia juga meningkatkan jumlah penerbitan judul baharu (fiksyen dan bukan fiksyen) bagi karya asli atau terjemahan berbahasa Melayu dengan pelbagai bidang ilmu untuk setiap peringkat pembaca," katanya kepada BH.

Hazami berkata, dana itu memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan Dasar Buku Negara bagi memastikan kegiatan pembangunan buku dijadikan antara perusahaan utama yang penting serta membangunkan sumber manusia dalam industri perbukuan negara.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

Katanya PIBN ini diwujudkan sebagai inisiatif mempercepatkan penerbitan karya penulis tempatan selain DBP.

"Kami tahu ada rungutan mengatakan DBP lambat menerbitkan buku.

"Maka kami beri pilihan kedua iaitu mereka boleh memohon PIBN dan menerbitkan karya mereka sendiri melalui syarikat penerbit tertentu.

"Namun mutunya tetap akan dikawal DBP. Jadi saya galakkan penulis yang ingin terbitkan karya mereka boleh cari penerbit berkelayakan untuk memohon dana tersebut," katanya.

Katanya, dana itu terbuka kepada mana-mana pemohon yang layak serta berminat untuk menerbitkan karya asli mahupun terjemahan dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, nilai pembiayaan dana yang akan diberikan kepada pemohon untuk kerja pembinaan judul adalah berbeza mengikut jenis buku.

Misalnya, bagi genre buku ilmiah, pemohon akan menerima dana sebanyak RM30,000; buku umum bukan fiksyen sebanyak RM20,000; buku umum fiksyen (RM15,000); biografi, autobiografi atau memoir (RM20,000); buku remaja bukan fiksyen (RM7,000); buku remaja fiksyen (RM7,000); buku kanak-kanak bukan fiksyen (RM5,000) dan buku kanak-kanak fiksyen (RM5,000).

"Bagi kategori buku jenis lain yang ditentukan oleh DBP, kadar nilai pembiayaan dana adalah mengikut pertimbangan DBP sendiri.

"Tapi, setiap penerbit mempunyai had maksimum permohonan sebanyak RM300 ribu kecuali bagi kategori buku kritikal seperti buku ilmiah, biografi tokoh terpilih atau buku sains dan teknologi," katanya.

Dana PIBN memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan Dasar Buku Negara. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Dana PIBN memainkan peranan aktif dalam pelaksanaan Dasar Buku Negara. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Hazami berkata setiap permohonan untuk mendapatkan dana perlu menepati spesifikasi ketebalan manuskrip ditetapkan.

Maklum mengenai maklumat mengenai PIBN masih tidak diketahui sepenuhnya oleh penulis dan penerbit, DNBP katanya ada mengadakan jerayawara untuk mempromosikannya ke seluruh negara tahun ini.

Misalnya, taklimat mengenainya sudah dilakukan sejak Mac lalu di ibu pejabat DBP di Kuala Lumpur sebelum sesi sama dilakukan di DBP Wilayahh Utara pada Jun dan DBP Cawangan Sabah pada 11 Mei.

Manakala satu sesi sama turut diadakan kepada Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) pada 17 Mei lalu.

"Ada beberapa lokasi lain yang turut berada dalam kalendar taklimat kami. Misalnya kami akan adakan sesi serupa di DBP Wilayah Timur pada 8 Jun ni, DBP Cawangan Sarawak pada bulan September dan DBP Wilayah Selatan pada Ogos ini." katanya.

Hazami berkata, DBP juga terbuka untuk menerima sebarang soalan dan pandangan daripada orang awam dan mereka yang mahu maklumat lanjut boleh juga hadir ke ibu pejabat agensi kerajaan itu bagi bertemu sekretariat.

Katanya, apa yang penting ruang dan peluang disediakan kerajaan perlu dimanfaat sebaiknya.

Justeru, promosi PIBN ke seluruh negara bukan sahaja menggalakkan penerbitan karya asli tempatan bahkan DBP berpeluang untuk mencari syarikat penerbit mahupun penulis yang boleh menulis dengan baik.

Katanya, secara umum buku bergenre karya kreatif iaitu novel dan kanak-kanak mendapat sambutan tertinggi dalam pasaran DBP.

Justeru katanya, sekitar 27 Mac lalu Menteri Pendidikan mengumumkan peruntukan RM2 juta daripada PIBN bagi menggalakan penerbitan buku kanak-kanak di dalam negara.

"Sebab itu DBP bersama Jabatan Penerbitan akan menggerakkan usaha ke seluruh negara untuk perkenalkan dana ini bagi mencari syarikat penerbit dan penulis yang berkebolehan menulis buku kanak-kanak dan remaja," katanya.

Katanya, selain penerbitan buku di bawah dana PIBN, juga turut menyemarakkan dunia sastera dengan kembali menjual majalah Dewan Sastera yang sebelum ini diberikan secara percuma.

Tambahnya, disebabkan pengedarannya sebelum ini dibuat secara percuma ia laris selain kuantiti cetakannya juga terhad.

"Walaubagaimanapun, mulai 1 Januari lalu, DBP sudah mula menjual semula majalah Dewan Sastera ini ke seluruh negara dan diedarkan secara meluas.

"Jadi tiada seharusnya semua peminat sastera berpeluang mendapatkan majalah ini di seluruh negara dengan lebih mudah," katanya.

Berita Harian X