Isnin, 27 Mei 2024 | 12:55pm
Naskhah cetakan Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah berdasarkan manuskrip asalnya, diserahkan oleh Soda Muhammad Hassan, anak kepada pengarang naskhah itu Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad. - Foto ihsan DBP
Naskhah cetakan Al Tarikh Salasilah Negeri Kedah berdasarkan manuskrip asalnya, diserahkan oleh Soda Muhammad Hassan, anak kepada pengarang naskhah itu Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad. - Foto ihsan DBP

Kitab andalan sejarah Kedah

KUALA LUMPUR: Naskhah Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (ASNK) yang baru saja mendapat pengiktirafan tertinggi di peringkat Asia Pasifik bagi kategori manuskrip dan dokumentari warisan di bawah program Memory of the World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP), adalah satu lagi dokumentasi menarik mengenai negeri jelapang padi itu.

Jika sebelum ini sejarah Kedah dikaitkan dengan Hikayat Merong Mahawangsa, ASNK pula dilihat sebagai dokumentasi Kesultanan Kedah Darul Aman yang menjadi rujukan utama dan sangat penting sehingga kini.

Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari berkata, setakat ini belum ada buku lain yang boleh menandingi ASNK dari segi kewibawaan dan sudut pernyataan salasilah Raja-raja Kedah yang sangat lengkap.

"Bahkan, sebarang kemusykilan mengenai kesahihan titik-bengik yang timbul mengenai masalah kerabat Raja-raja Kedah, kitab ini jugalah yang kerap menjadi andalan.

"Oleh sebab itu, dengan faktor-faktor itu karya sejarah tradisional ini amat patut diangkat untuk didaftarkan oleh pihak UNESCO, sebagai salah sebuah karya penting berasal dari Alam Melayu," katanya kepada BH.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari.

DBP katanya menyimpan naskhah asal iaitu versi pertama ASNK (MS 100), sejak 1962 apabila ia diserahkan oleh Soda Muhammad Hassan, anak kepada pengarang naskhah itu Muhammad Hassan Datuk Kerani Muhammad Arshad.

Secara umum ASNK memuatkan perihal pentadbiran, adat istiadat dan panduan pentadbiran selain catatan mengenai hubungan juga konflik antara Kedah dan Siam. Turut dimuatkan dokumentasi mengenai campur tangan British dalam pergolakan politik di negeri itu sehingga termeterainya Perjanjian Bangkok 1909.

Hazami berkata, pemilikan manuskrip asal oleh pihak DBP ini sangat penting dalam konteks kewujudan ASNK yang masih dapat dibaca dalam bentuknya yang asli tanpa apa-apa tokok-tambah daripada pengarang lain.

"Ketiadaan salinan lain bagi manuskrip ASNK mungkin berhubung kait dengan kemunculan institusi percetakan di Pulau Pinang sekitar akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

"Tidak lama selepas siap ditulis oleh Muhammad Hassan pada tahun 1927, manuskrip Jawi itu dicetak oleh Jelutong Press, Pulau Pinang, pada tahun 1928.

"Jelutong Press ialah syarikat percetakan milik Syed Syeikh al-Hadi yang aktif di Pulau Pinang ketika itu. Naskhah itu dicetak dalam tulisan Jawi pada 7 Rabiulawal 1347 (1928) dan mengandungi 440 halaman," katanya.

Hazami berkata, sekitar 1968 manuskrip yang terdapat dalam simpanan DBP ditransliterasi ke huruf rumi oleh Mohd Zahid Mohd Shah dan diterbitkan oleh DBP dengan judul Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah.

Tambahnya, DBP adalah antara institusi terawal di Malaysia yang menghimpun, membongkar dan menyelidik hasil kesusasteraan lama untuk dimanfaatkan oleh pelbagai peringkat khalayak khususnya dalam bidang pendidikan.

Ia tentu saja selaras dengan matlamat dan fungsi asal penubuhan DBP iaitu untuk mengembangkan bakat sastera dan penerbitan.

Malah katanya, DBP memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab untuk memperkenalkan kesusasteraan Melayu ke sekolah-sekolah serta menggalak pengajian dan pengajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Hazami berkata, tumpuan penyelidikan ketika itu adalah untuk "mengumpul, menyelenggara dan membuat penyesuaian hikayat-hikayat lama" sejak 1960-an.

"Naskhah-naskhah lama dalam bahasa Melayu diperoleh daripada individu sama ada dibeli atau dihadiahkan oleh individu di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

"Usaha ini selaras dengan tujuan mendirikan sebuah "perpustakaan yang khas dan lengkap untuk buku-buku bahasa, hikayat, kebudayaan, kemasyarakatan dan kesusasteraan Melayu" katanya.

Apatah lagi dalam usia 68 tahun penubuhan organisasi itu, seharusnya pelbagai usaha perlu dibuat melalui penyelidikan, penerbitan dan pengembangan untuk sentiasa mempersegar kesinambungan manuskrip Melayu mengisi ruang menjangkau khalayak.

Bagaimanapun katanya, usaha mempersegar semula apresiasi dan kecintaan khalayak terhadap manuskrip Melayu memerlukan kepada pelbagai pendekatan menjangkau khalayak supaya khazanah ilmu ini dapat digarap, disebar dalam ruang dunia nyata dan siber.

Justeru, katanya selain usaha penyelidikan DBP juga melakukan kerja penerbitan yang sesuai khususnya dalam memperkenalkan bentuk dan corak hasil-hasil sastera lama dan karya sastera klasik kepada umum.

"Dalam hal ini ia akan dibuat dalam bentuk dan bahasa yang mudah difahami. Hal ini bagi membantu naskhah teks klasik penerbitan awal DBP di tahun 60-an misalnya terus menjadi ikon dalam pembacaan sastera klasik, antaranya; Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Pandawa Lima, Hikayat Chekel Waneng Pati, Tajus Salatin, Bustan al-Katibin, Hikayat Patani dan Sulalatus Salatin," katanya.

Berita Harian X