Isnin, 20 Mei 2024 | 2:07pm
Foto hiasan. - Freepik
Foto hiasan. - Freepik

Perdagangan hak cipta boleh untung besar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,000 judul buku dianggarkan akan didagangkan hak ciptanya dalam Pesta Hak Cipta Asia 2024 (ARF 2024) yang bakal berlangsung bermula 30 Mei ini sehingga 1 Jun ini sempena penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar, berkata jumlah itu adalah berdasarkan 20 sesi padanan perniagaan yang sudah dijalankan dan 600 mesyuarat perniagaan yang bakal berlangsung.

Katanya lagi, pemain industri tempatan juga digalakkan untuk menempah sesi padanan perniagaan melalui aplikasi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang bakal dilancarkan.

"Mereka hanya perlu log masuk ke dalam aplikasi dan nyatakan siapa yang ingin ditemui dan genre apa yang mahu difokuskan. Sistem akan melakukan padanan untuk mereka.

"Setakat ini sambutan menggalakkan. Ramai juga pemain industri tidak mengambil reruai tahun lalu tetapi menjadi 'trade visitor' untuk sesi padanan perniagaan.

"Ini adalah peluang yang pemain industri tempatan perlu manfaatkan. Dalam kalangan Asia Tenggara sendiri sudah banyak transaksi yang berlaku. Mengapa kita tidak letakkan Kuala Lumpur sebagai pusat bagi dagangan hak cipta di Asia Tenggara dan juga Asia keseluruhannya?," katanya ketika ditemui BH.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Katanya, ARF tahun ini dijenamakan semula kerana menerima China dan juga India sebagai rakan strategik.

"Apabila mereka (China dan India) sertai pesta ini, kita lihat sudut yang lebih besar daripada Asia Tenggara kepada Asia secara keseluruhan.

"Kita kekalkan model yang sama seperti tahun lalu iaitu masih ada forum, padanan perniagaan, pembentangan daripada negara-negara yang hadir, dan juga pembentangan mengenai dagangan.

"Kita juga memfokuskan kepada lapan orang duta hak cipta dari lapan negara di Asia Tenggara. Kami menambah konsep baharu yang memfokuskan kepada syarikat penerbitan.

"Syarikat ini menyediakan khidmat daripada menerbit sehingga ke mencetak. Mereka menempah 10 reruai tahun ini. Mereka akan berkongsi dengan khalayak servis yang mereka ada dan bagaimana untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripadanya," katanya.

Untung besar

Antara negara yang akan hadir pada ARF 2024 adalah Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Afrika Selatan, China, Thailand dan beberapa negara lain menjadikan jumlah keseluruhan 14 negara.

Menurut Adibah penekanan Malaysia dalam ARF 2024 adalah untuk melihat urus niaga yang berkualiti kerana lebih banyak negara yang ternama menyertai pesta dagangan hak cipta kali ini.

"Tahun lalu kita baru kenal (negara yang terbabit), tahun ini kita menantikan kandungan dan juga dagangan yang lebih berkualiti.

"Kandungan sedia ada lebih sesuai dengan selera pembaca tempatan. Bila kita mula buka pintu untuk Asia Tenggara, kita lihat Thailand ilustrasi mereka sudah berada di tahap yang tinggi.

"Indonesia juga seperti ini. Filipina pula daripada segi kandungan untuk kanak-kanak sudah berada di kelas tersendiri.

"Untuk memacu kandungan tempatan lebih ke hadapan, kita mahu tunjukkan jenis-jenis kandungan di Asia Tenggara dan kita mahu membawa mereka masuk ke pasaran," katanya.

Mengulas lanjut Adibah menjelaskan perdagangan hak cipta boleh mendatangkan keuntungan yang sangat besar kepada pemain industri buku.

Katanya, sejak terbabit dalam industri perbukuan beliau melihat peningkatan dalam dagangan hak cipta meskipun sampai ke tahap setiap rumah penerbitan di Malaysia mempunyai unit hak cipta tersendiri.

Bagaimanapun katanya, ia adalah permulaan yang baik dalam usaha mengantarabangsakan karya tempatan.

"Kalau tidak pandai, setiap tahun ada kursus yang dilakukan daripada awal proses sehingga akhir.

"Jika gementar mahu menjual hak cipta kepada negara Eropah, mulakan dengan negara serumpun yang menggunakan bahasa yang hampir sama dengan kita," katanya.

Tambahnya, ARF 2024 juga memberikan keuntungan kepada pemain industri buku tempatan kerana tidak perlu ke luar negara untuk berdagang hak cipta. Sebaliknya PKB membawakan pemain industri antarabangsa ke sini.

"Penulis indie juga boleh datang, cuma nasihat saya duduk dan berbincang dengan mereka yang berpengalaman. Memahami selok belok pemerdagangan hak cipta ini penting.

"Jangan takut. Wakil dari negara lain juga ada yang masih belajar. Sama-sama kita mencuba dan teroka," katanya.

Geran terjemahan

Berdasarkan pengalamannya dalam bidang pemerdagangan hak cipta, Adibah berkata genre yang menjadi minat pada peringkat antarabangsa tidak sama.

"Seperti China, mereka sangat khusus. Permintaan mereka tertakluk kepada bidang pendidikan yang ditawarkan di universiti di sana. Antaranya seperti buku-buku kejuruteraan. Setiap negara mempunyai keperluan yang berbeza.

"Eropah pula tidak meminati fiksyen kita. Mereka menganggap fiksyen mereka sudah berada di tahap yang tertinggi. Kita membuat strategi berdasarkan pengalaman semasa berurusan dengan mereka dalam sesi-sesi terdahulu," katanya.

Adibah berkata, PKB serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) juga bersedia membantu penerbit tempatan untuk mendapatkan geran terjemahan. Mengambil contoh penyertaan Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Chennai, India pada Februari lalu, penerbit Malaysia katanya menerima geran bernilai RM500,000 bagi menterjemahkan karya-karya daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu.

Mengulas mengenai kesedaran penerbit dan penulis tempatan mengenai peluang yang dibuka untuk mengkormesialkan karya mereka, Adibah berkata peluang yang ada sangat luas tetapi tidak akan datang bergolek.

Sebaliknya, semua orang perlu berusaha keras dan jika tidak pasti boleh datang melihat apa yang ditawarkan PKB.

"Kita sudah rangka pelan strategik sehingga tahun 2027. Antara teras utama kami adalah mengembangkan industri tempatan ke peringkat global.

"Pemain industri jangan ambil ringan, sekiranya serius mahu meningkatkan apa yang kita ada ke peringkat yang lebih tinggi, mari sertai kami. Kita komited dan akan terus mendapatkan permintaan terhadap produk yang sedia ada.

"Sudah tentu bila kita pergi ke peringkat antarabangsa kita tidak boleh pergi sendiri. Kita mahu pergi jauh kerana itu kita pergi bersama-sama dengan rakan daripada Asia Tenggara," katanya.

Berita Harian X