Isnin, 13 Mei 2024 | 1:48pm
Peranan persatuan penulis dalam menjalankan pelbagai kegiatan bertujuan mengangkat persuratan dan sastera kebangsaan masih relevan walaupun mungkin kurang mendapat perhatian umum. - Foto fail NSTP
Peranan persatuan penulis dalam menjalankan pelbagai kegiatan bertujuan mengangkat persuratan dan sastera kebangsaan masih relevan walaupun mungkin kurang mendapat perhatian umum. - Foto fail NSTP

Persatuan penulis negeri kekal relevan

KUALA LUMPUR: Peranan persatuan penulis negeri dalam mengangkat persuratan dan sastera kebangsaan masih relevan walaupun mungkin kurang mendapat perhatian umum.

Selain menjadi platform pembinaan bakat melalui aktiviti dijalankan, persatuan penulis yang wujud di hampir setiap negeri di Malaysia adalah antara pemangkin kepada penerbitan karya secara aktif melalui kegiatan kebahasaan dan penulisan secara konsisten.

Namun, disebabkan kekangan tertentu, sumbangan dan gerak kerja persatuan penulis di negeri termasuk Sabah dan Sarawak agak jarang diperkatakan dengan peluang untuk mereka berkarya atau menonjolkan bakat penulisan juga dikatakan lebih terhad.

Bagi Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya, Abizai, antara kesukaran dihadapi persatuan penulis negeri dalam menggerakkan aktiviti persuratan ialah berkaitan isu kewangan.

Beliau yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2017 berkata, untuk menganjurkan sesebuah aktiviti sastera di pelbagai peringkat, peruntukan yang besar diperlukan.

"Persatuan penulis negeri lebih banyak bergantung harap kepada bantuan dan sumbangan daripada kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen.

Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya, Abizai.
Ketua Satu Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya, Abizai.

"Bagi mendapatkan sumbangan atas nama kegiatan sastera daripada pihak swasta amatlah sukar.

"Kedua, kekangan lain berikutan persuratan Melayu dalam konteks keintelektualan sastera dan karya sastera berbahasa Melayu tidak merakyat dan membumi di Sarawak.

"Apatah lagi karya sastera popular berbahasa Melayu juga sebenarnya tidak popular seperti namanya," katanya.

Tambahnya, kedudukan bahasa Inggeris yang diangkat sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak turut memberi impak terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu di bumi Kenyalang.

Di sebalik pelbagai cabaran dihadapi persatuan penulis negeri, Abizai berkata, penulis di negeri itu bagaimanapun masih mampu bersaing secara sihat dengan penulis di negeri lain.

Malah, katanya banyak sajak dan cerpen penulis Sarawak yang disiarkan dalam media arus perdana.

Dalam konteks Sarawak, Abizai berkata melalui kegiatan dijalankan persatuan penulis negeri, makna, nilai dan kearifan lokal serta sastera rakyat daripada pelbagai etnik bumiputera atau peribumi dapat diarusperdanakan.

"Hal ini diangkat menjadi satu daripada tradisi dalam tamadun intelektual bangsa Malaysia, seperti mana acara Dendangan Puisi Tradisional Antarabangsa yang diusahakan sekarang di bandar raya Miri bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan pelbagai persatuan kaum.

"Persatuan penulis negeri juga banyak menjalankan pelbagai aktiviti bercorak bahasa dan sastera pada peringkat tempatan dan negeri.

"Bagaimanapun, hebahannya mungkin hanya terhad dalam media peringkat negeri sahaja dan nampak kurang menonjol jika dibandingkan aktiviti yang dianjurkan di ibu kota," katanya.

Mengulas perkembangan semasa sastera kebangsaan, Abizai berkata, ia masih berkembang maju. Malah katanya acara seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menjadi antara program ditunggu-tunggu.

Malah katanya, di situ bukan hanya bukan fiksyen atau naskhah popular sebaliknya karya sastera seperti puisi mendapat sambutan hangat.

Sementara itu, Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Md Ali Hanafiah, berkata persatuan penulis negeri banyak memberikan sumbangan kepada sastera kebangsaan khususnya memasyarakatkan sastera.

Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Md Ali Hanafiah.
Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Amirudin Md Ali Hanafiah.

"Di negeri-negeri, program persatuan banyak membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti bersama-sama anak yatim dan masyarakat di FELDA.

"Ketika ini juga, peluang dari segi penerbitan tidak terbatas kepada persatuan penulis di ibu kota. Malah, banyak penerbitan baharu dihasilkan di negeri.

"Hal ini, seolah-olah mengulang sejarah ketika era sebelum merdeka dulu, apabila banyak penerbitan muncul di kampung dan di luar ibu kota," katanya.

Tidak menafikan wujud kekangan kewangan untuk menjalankan aktiviti kebahasaan di peringkat negeri, jelas Amirudin hal sebegitu boleh diatasi jika ada kolaborasi antara persatuan dengan pihak lain.

Misalnya, bagi memudahkan gerakan sastera di negeri, perlu diwujudkan sekretariat khas yang menyelaras peruntukan atau sumbangan daripada pihak kerajaan seperti DBP.

"Kita perlu bergerak ke hadapan dengan program yang bukan lagi 'klise' tetapi perlu diberi nafas baharu.

"Contohnya, kita perlu adakan ' konsert puisi' yang pelbagai.

"Selain itu acara seperti dialog atau forum ilmiah yang berterusan perlu diadakan supaya sastera tidak mati. Selain itu, pada masa sama, pemimpin persatuan mesti berani berubah dan gigih membina perubahan secara berterusan," katanya.

Berita Harian X