Isnin, 13 Mei 2024 | 1:17pm
 Azmi berpandangan, Tanah Melayu boleh merdeka lebih awal iaitu pada 1940-an, namun kerana berlakunya darurat, kemerdekaan ditangguhkan oleh British. Gambar Arkib NSTP
Azmi berpandangan, Tanah Melayu boleh merdeka lebih awal iaitu pada 1940-an, namun kerana berlakunya darurat, kemerdekaan ditangguhkan oleh British. Gambar Arkib NSTP

Siapa kata PKM pejuang kemerdekaan ?

KUALA LUMPUR: Kecenderungan sesetengah individu menulis mengenai sejarah negara tanpa berdasarkan

disiplin kajian yang betul, menimbulkan banyak salah faham malah turut menimbulkan kecurigaan.

Apatah lagi kebanyakan mereka tidak datang daripada latar belakang bidang sejarah selain cenderung menimbulkan isu-isu kontroversi misalnya, mahu meletakkan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan.

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin, berkata PKM bukan pejuang kemerdekaan malah berdasarkan catatan dalam buku-buku sejarah, boleh dibaca dengan jelas matlamat mereka adalah menubuhkan Republik Komunis.

Justeru pandangan PKM kononnya pejuang kemerdekaan adalah amat mengelirukan kerana ia tidak dibuat bersandarkan kajian menyeluruh sekaligus gagal membuktikan dakwaan.

"Di Malaysia belum ada kajian menyeluruh yang membuktikan PKM adalah pejuang kemerdekaan.

"Meskipun mereka juga menentang British dan Jepun tetapi itu bukan faktor yang membolehkan mereka menjadi pejuang kemerdekaan.

"Hal seperti ini memerlukan kajian lanjut," katanya pada perbincangan dalam talian melalui media sosialnya mengenai Gerakan Kiri dan PUTERA-AMCJA, baru-baru ini.

 Menulis sejarah haruslah objektif, maksudnya jangan taasub dan jangan berat sebelah. Gambar arkib NSTP
Menulis sejarah haruslah objektif, maksudnya jangan taasub dan jangan berat sebelah. Gambar arkib NSTP

Azmi berkata, dalam landskap sejarah negara misalnya sebelum 1950-an tidak ada kelompok-kelompok (bukan peribumi) yang mengatakan mereka memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu kerana ketika itu hanya ada segelintir saja yang mempunyai kerakyatan.

Mereka sebaliknya kata Azmi, lebih tertumpu memperjuangkan kepentingan negara asal mereka sendiri.

Justeru katanya, apakah yang mahu dibuktikan oleh sekelompok individu termasuk sarjana apabila mereka cenderung mengangkat kumpulan sebegitu sebagai pejuang kemerdekaan?

"Pandangan sebegini perlu diperbetulkan, apatah lagi mereka bukan ahli sejarah.

"Jika mereka mahu menulis dalam bidang sejarah, perlulah ikut disiplin bidang dan melakukan kajian secara menyeluruh serta bersifat objektif.

"Hal ini disebabkan sumber-sumber sejarah mengenai komunis di negara kita terlalu banyak, dan membolehkan kajian dibuat secara akademik, bukan sekadar petik-petik saja kajian orang lain," katanya.

Terdahulu, Azmi mengupas mengenai beberapa tulisan di pelbagai portal media yang cenderung memberi penekanan terhadap dakwaan PKM kononnya tercicir daripada senarai perjuangan kemerdekaan negara.

Tegas Azmi, lebih teruk apabila pandangan sebegitu kemudiannya turut dipetik pula oleh sesetengah ahli politik, sedangkan secara jelas ia dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan kumpulan-kumpulan tertentu.

Hal sedemikian katanya, memperjelaskan sejarah ditunggang oleh nafsu politik untuk memutihkan sesetengah watak

"Kita tidak menolak sumbangan pejuang kiri dalam kemerdekaan negara tapi perlu diingat kumpulan kiri itu bukan hanya ada komunis.

"Dalam perjuangan kiri itu ada juga kumpulan agamawan malah dalam UMNO itu sendiri ada golongan kiri yang menentang British.

"Jadi apabila menyebut sumbangan golongan kiri dalam perjuangan kemerdekaan negara, mengapa tumpu pada PKM saja? Apakah orang lain tidak berperanan?," soalnya.

Sejarah kemerdekaan negara tidak boleh ditunggang untuk memutihkan sesetengah watak, kata Azmi. Gambar hiasan/Arkib NSTP
Sejarah kemerdekaan negara tidak boleh ditunggang untuk memutihkan sesetengah watak, kata Azmi. Gambar hiasan/Arkib NSTP

Hal sebegini tegas Azmi memperlihatkan mereka hanya mengkaji isu-isu yang selari dengan ideologi atau kepentingan sendiri.

Malah katanya, dalam kebanyakan tulisan seperti itu ramai menuliskan fakta yang salah, misalnya kebanyakannya menyebut PKM ditubuhkan pada 1930, sedangkan, PKM sebenarnya sudah ada di Singapura sejak 1920-an lagi.

"Organisasi itu diimport dari negara China, tapi ia tidak dapat sokongan daripada orang tempatan. Mana-mana parti yang tidak mendapat sokongan peribumi memang tidak akan boleh menjadi kuat termasuklah PKM.

"PKM ni bukan sekadar tak dapat sokongan peribumi tetapi juga orang Cina atau India.

"Kenapa dia tak dapat sokongan? Sebab rohnya adalah di tanah asalnya sebab itu dia tak boleh berjuang, kiblat mereka sejak awal bukan berada di Tanah Melayu," katanya.

Kongsi Azmi lagi, sepatutnya Tanah Melayu boleh merdeka lebih awal iaitu pada 1940-an. Bagaimanapun susulan berlakunya darurat, kemerdekaan ditangguhkan oleh British.

Ketika itu katanya, penjajah British memberi alasan, selagi komunis ada mereka tidak akan meninggalkan Tanah Melayu kononnya kerana hendak lindungi peribumi.

Azmi berkata, sejarah kini dikuasai kelompok kiri, manakala golongan kanan sudah mulai tenggelam. Bagaimanapun ia tidak menjadi masalah sekiranya mereka berdiri atas disiplin bidang.

Namun ia akan menjadi masalah apabila ada sesetengah pandangan yang tidak tepat dipaksakan kepada masyarakat.

"Menulis sejarah haruslah objektif, maksudnya jangan taasub dan jangan berat sebelah," katanya.

Berita Harian X