Selasa, 7 Mei 2024 | 10:34am
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah, berbaju kuning) bersama pemilik produksi pada majlis perasmian Panggung Bangsawan Melaka malam tadi. NSTP/AMIR MAMAT
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tengah, berbaju kuning) bersama pemilik produksi pada majlis perasmian Panggung Bangsawan Melaka malam tadi. NSTP/AMIR MAMAT

Panggung bangsawan Melaka berwajah baharu

MELAKA: Kerajaan negeri mengaktifkan semula Panggung Bangsawan Melaka (PBM) sebagai usaha untuk memperkasakan lagi nilai seni dan budaya selain memartabatkan lagi warisan bangsa supaya tidak hilang dalam arus pemodenan semasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pada masa sama, langkah itu dilihat sebagai usaha untuk mengangkat seni dan budaya bangsa ke peringkat lebih tinggi menerusi persembahan di lokasi yang berprestij khusus pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang sedang rancak berlangsung ketika ini.

Katanya, menyedari kepentingan usaha berkenaan, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Melaka (MCorp) mengambil langkah proaktif untuk memulih dan menaik taraf bangunan PBM untuk kegunaan pementasan berbentuk kebudayaan.

"Susulan beberapa lawatan kerja saya ke panggung itu sebelum ini, saya sendiri meneliti setiap perubahan yang dilakukan mesti mengikut kehendak pasaran semasa.

"PBM seharusnya menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Melaka kerana memiliki sebuah panggung pementasan tertua yang begitu gah sehinggakan dapat memperkukuh seni warisan dan budaya yang kita warisi sejak dahulu kerana ekspresi kesenian dan kebudayaan itu mempunyai kuasa perubahan yang boleh mempengaruhi setiap lapisan masyarakat," katanya ketika merasmikan PBM di Jalan Hang Tuah, di sini malam tadi.

PBM yang berwajah baharu itu membabitkan kos membaik pulih, penyelenggaraan serta penambahbaikan berjumlah RM900,000. Ia mampu memuatkan sehingga 392 penonton bagi setiap satu pementasan.

Lebih dikenali sebagai panggung wayang Cathay yang sangat popular di Melaka satu ketika dahulu, panggung terbabit dilengkapi dengan penghawa dingin, peralatan teknikal, sistem audio dan sistem pencahayaan canggih masa kini.

Ab Rauf berkata, projek menaik taraf bangunan berkenaan bertujuan untuk menghidupkan semula nostalgia panggung itu sekali gus menjadikan ia destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong sepanjang TMM2024.

Sehubungan itu, katanya pelbagai program dan pengisian acara berprestij yang bertaraf antarabangsa sudah disusun menerusi kerjasama daripada beberapa syarikat produksi tersohor menerusi tujuh konsep persembahan sepanjang tahun ini.

Ia termasuk persembahan Tribute to P Ramlee dan Hang Tuah yang akan diadakan pada bulan ini, diikuti Lawak Bangsawan dan Ronggeng Vaganza (Julai); Teater Bangsawan Tun Perak dan Konsert Dendang Warisan (Ogos); Magic Show; Sound of Melaka dan Konsert Islamik (September); Dance Maniac dan Konsert Dangdut Milenia (Oktober); Lenggok Noraniza Idris dan Rokestra (November) selain Rapshody Guitar Showcase juga Cat Cit Cot (Disember).

"Saya yakin, usaha ke arah pemerkasaan industri pementasan ini dapat memberi peluang kepada penggiat seni tanah air untuk menterjemahkan realiti kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia melalui cerita dan aksi yang bukan sahaja dapat menghiburkan, bahkan dapat mencuit perasaan dan pemikiran masyarakat.

"Kerajaan negeri berharap semua agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat swasta serta orang perseorangan untuk bersama-sama menyokong dan membantu memeriahkan semula panggung ini khususnya dari segi tajaan dan kolaborasi dengan mana-mana produksi dan persembahan yang berkaliber.

"Usaha ini pastinya menyokong ke arah menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri `Preferred Tourist Destination' dengan menyasarkan 18.7 juta pelancong dan pengunjung dari dalam dan luar negara sempena kempen TMM2024," katanya.

Berita Harian X